Laporan audit: Bantuan diluluskan kepada si mati di Pahang

Laporan audit: Bantuan diluluskan kepada si mati di Pahang

Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 1 mendapati Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang lambat menghentikan RM49,800 dibayar kepada penerima yang sudah meninggal dunia.

PETALING JAYA:
Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 1 mendedahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang meluluskan bantuan wang kepada penerima yang sudah meninggal dunia.

“Kami mendapati dari 2015 hingga September 2017, jabatan itu lambat dalam menghentikan bayaran berjumlah RM49,800 kepada penerima yang meninggal dunia,” menurut laporan itu.

Laporan itu berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang turut membayar RM3.94 juta kepada pemohon yang tidak layak.

“Kami mencadangkan kerajaan negeri memastikan mereka tidak mengulangi kesilapan sama lagi,” menurut laporan itu sambil menambah jabatan kebajikan juga perlu berhenti membayar wang kepada pemohon tidak layak.

Sementara itu, laporan berkenaan mendapati kerajaan Sarawak membayar RM12.02 juta untuk membeli paip melebihi keperluan mereka bagi sebuah projek bekalan air di Tanjung Manis, Sarawak.

“Projek itu sepatutnya memindahkan 250 juta liter air mentah dari Sungai Maaw di Sibu ke Tanjung Manis setiap hari.

“Bagaimanapun, kami mendapati projek itu tidak mencapai hasil optimum kerana ia tidak mematuhi spesifikasi kerja dan tidak mendapat kelulusan pegawai tempatan bertanggungjawab mereka bentuk projek itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.