Mahadzir Lokman meninggal dunia

Mahadzir Lokman meninggal dunia

Pengacara televisyen popular itu terkenal dengan bakat bertutur dalam banyak bahasa.

PETALING JAYA:
Personaliti dan pengacara televisyen terkenal, Datuk Mahadzir Lokman meninggal dunia pagi ini pada usia 61 tahun.

Utusan Malaysia melaporkan bekas penyampai berita TV3 itu meninggal dunia di sebuah hotel di Kota Kinabalu.

Menurut laporan polis yang dilihat FMT, Mahadzir sedang bercuti di Sabah dengan seorang rakan dan keluarganya.

Apabila Mahadzir gagal menjawab panggilan, rakannya meminta kakitangan hotel membuka pintu biliknya dan mendapati beliau tidak sedarkan diri.

Mahadzir kemudiannya dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth dan disahkan meninggal dunia.

Tahun lalu, beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya akibat komplikasi paru-paru dan ginjal.

Anak diplomat itu terkenal dengan bakat berbahasa dan boleh bertutur dalam bahasa Perancis, Sepanyol, Itali, Portugis dan Jepun.

Beliau sering menjadi pengacara pelbagai majlis rasmi anjuran kerajaan, termasuk pertandingan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa yang diadakan di Kuala Lumpur.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.