Arab Saudi larang bawa masuk, sembelih unta di Mekah

Arab Saudi larang bawa masuk, sembelih unta di Mekah

Ia bagi melindungi kesihatan jemaah dari seluruh dunia yang tiba untuk mengerjakan ibadat haji daripada penyakit berjangkit.

Free Malaysia Today
Unta dibuktikan sebagai sumber MERS, atau selesema unta, yang meragut nyawa beratus-ratus penduduk Arab Saudi.
RIYADH:
Arab Saudi pada Khamis berkata ia melarang 5 kenderaan yang membawa muatan unta memasuki Mekah bertujuan melindungi jemaah haji daripada penyakit berjangkit, lapor agensi berita China Xinhua.

Omar Al Faqih, pengarah Kementerian Alam Sekitar, Air dan Pertanian di Mekah, berkata pihaknya berbuat demikian kerana melaksanakan keputusan Kementerian Kesihatan, lapor Agensi Akhbar Arab Saudi (SPA).

Kementerian Kesihatan turut mengharamkan penyembelihan unta di kota suci Mekah sebagai langkah berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan jemaah dari seluruh dunia yang tiba untuk mengerjakan ibadat haji tahunan.

Unta dibuktikan sebagai sumber koronavirus Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS), atau selesema unta, yang meragut nyawa beratus-ratus penduduk Arab Saudi sejak kes pertama didiagnos pada 2012.

Kerajaan negara itu menyaksikan penurunan besar dalam kes baharu MERS akibat virus tersebut berikutan langkah drastik yang diambil oleh pihak berkuasa Arab Saudi dengan kerjasama organisasi pertubuhan kesihatan antarabangsa.

Tahun lepas, lebih 2.3 juta jemaah haji mengerjakan ibadat itu di Makkah.

Statistik yang dikeluarkan pada Khamis oleh Direktorat Umum Pasport menunjukkan jumlah jemaah haji asing yang berkunjung ke Mekah tahun ini mencecah 603,764 orang.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.