Aktivis: Pengalaman ditahan tentera Israel cetus idea tembusi Gaza

Aktivis: Pengalaman ditahan tentera Israel cetus idea tembusi Gaza

Aktivis Humanitarian Care Malaysia, Afandi Salleh berkata, tentera Israel memberi layanan 'bermuka-muka' dan yakin pada 29 Julai lalu dapat menambah baik cara memasuki perairan Gaza.

Free Malaysia Today
Afandi Salleh menyeru rakyat Malaysia terus aktif membantu rakyat Palestin dan tidak melakukannya secara bermusim. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Wakil tunggal sukarelawan Malaysia, Prof Mohd Afandi Salleh yang ditahan tentera Israel ketika misi menghantar bantuan ke Gaza, Palestin yakin insiden pada 29 Julai lalu akan mencetuskan lebih banyak idea untuk menghadapi kerenah tentera Isreal ketika misi bantuan ke wilayah bergolak itu pada masa depan.

Jelas aktivis Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) itu, idea yang tercetus sepanjang penahanan itu dilihat mampu membuka jalan untuk memecahkan “tembok” kawalan Israel terhadap perairan Gaza.

“Saya sendiri sudah 3 kali terlibat dalam misi bantuan ke Gaza, dengan 2 kali melalui jalan darat dan pertama kali melalui laut. Saya percaya menghantar bantuan melalui laut lebih sukar disebabkan kawalan lebih ketat oleh tentera Israel.

“Selepas kejadian ini, kita akan dapat menambah baik cara memasuki perairan Gaza dan memastikan bantuan kepada penduduk Palestin dapat disampaikan,” katanya selepas menjadi tetamu dalam program Ala Carte Pagi di Bernama Radio, hari ini.

Pada 29 Julai lalu, timbalan dekan Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang berusia 47 tahun itu, bersama 22 sukarelawan dari 12 negara lain menaiki kapal flotila Al-Awda dengan membawa 116 kotak ubatan-ubatan ke Gaza, sebelum ditawan tentera Israel pada kedudukan 49 batu nautika dari perairan Gaza.

Afandi yang ditahan selama 36 jam di Penjara Givon berkata, layanan yang diberikan tentera Israel kepadanya lebih kepada “bermuka-muka”.

“Mereka (tentera Israel) tidak sanggup menerima tekanan antarabangsa sekiranya membuat sesuatu yang teruk kepada kami. Jadi, mereka memberi layanan yang dalam erti kata bagi mereka ‘baik’, tapi bagi kita, kita tahu mereka ini bermuka-muka dan menipu. Ia lebih kepada propaganda,” katanya.

Biarpun menghadapi pelbagai rintangan, Afandi mengakui tidak serik dan menyeru masyarakat Malaysia terus aktif membantu dalam isu Palestin dan tidak melakukannya secara bermusim.

“Masyarakat kita adalah antara yang cakna dengan isu Palestin, cuma kadangkala dilakukan secara bermusim, contohnya bila berlaku serangan ataupun di bulan Ramadan.

“Apa yang penting, masyarakat sedar kita perlu lakukan sesuatu untuk membebaskan Gaza kerana kekejaman yang berlaku sangat luar biasa.”

Sehubungan itu, Afandi melalui MyCARE akan melakukan siri jelajah kesedaran dan berkongsi pengalamannya bersama pelbagai peringkat masyarakat di seluruh negara.

Kapal misi Gaza bawa wakil Malaysia dipercayai dirampas Israel

Sukarelawan pulang ke Malaysia selepas bebas dari penjara Israel

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.