Menteri: Faedah tinggi punca peminjam Tekun enggan bayar balik

Menteri: Faedah tinggi punca peminjam Tekun enggan bayar balik

Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof berkata kos yang tidak nampak membebankan pembayar apabila mereka mengambil pinjaman Tekun.

Free Malaysia Today
Mohd Redzuan Md Yusof memaklumkan secara keseluruhan kos perbelanjaan pengurusan Tekun adalah amat tinggi. (Bernama pic)
KUALA LUMPUR:
Kegagalan kerajaan terdahulu membuat perincian secara jelas menyebabkan peminjam Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) gagal membuat bayaran balik mengikut tempoh yang ditetapkan.

Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof berkata peminjam gagal membuat bayaran balik kerana kos faedah yang dibayar terlalu tinggi.

“Apa yang kita lihat dari segi pengurusan Tekun, kos yang tidak nampak membebankan pembayar apabila mereka mengambil pinjaman skim Tekun.

“Saya lihat secara kasar ada usahawan terpaksa bayar balik, sebagai contoh pinjaman RM20,000 menyebabkan kos pinjaman lebih 25%, kita juga akan kaji kenapa kos pinjaman sampai 25% itu, sebab peminjam tidak mahu bayar balik,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN-Jeli) yang ingin tahu apa pendekatan kerajaan Pakatan Harapan untuk memastikan disiplin peminjam membuat bayaran mengikut tempoh ditetapkan.

Redzuan berkata, pihaknya akan mengkaji semua cara pemberian skim Tekun oleh kerajaan lepas kerana terdapat kelemahan berlaku.

“Dari segi pengurusannya, pembahagian skim-skim pinjaman ini, tidak mengikut normal praktik. Kita tidak persalahkan sesiapa, tapi skim ini kita perhalusi dan buat penambahbaikan supaya penerima mampu bayar balik,” katanya.

Redzuan turut memaklumkan secara keseluruhan kos perbelanjaan pengurusan Tekun adalah amat tinggi.

“Secara keseluruhan saya dimaklumkan setakat ini belanja pengurusan Tekun adalah amat tinggi, saya jangkakan sebanyak lebih kurang RM100 juta setahun, sebulan lebih kurang RM9 juta,” katanya.

Tiada lagi campur tangan politik dalam pinjaman Tekun, kata menteri

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.