
Zawawi berkata, pakaian dipakai pramugari perlu dilihat sesuai dengan bidang tugas mereka sewaktu menjalankan tugas, baginya pakaian skirt pendek tidak sesuai ketika misi menyelamat sewaktu berlaku kecemasan.
“Isu pakaian pelayan pramugari, saya setuju supaya penampilannya lebih memaparkan budaya Melayu dan Islam, ertinya pakaian itu selesa untuknya bekerja.
“Ia kerana, saya kasihan juga bila berlaku kecemasan dengan pakai skirt pendek itu, nak menyelamatkan orang itu menjadi masalah kepadanya (pramugari),” katanya dalam sidang media di Dewan MBSA, Kampung Sungai Kandis, hari ini.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menasihatkan mereka yang merasakan seragam pramugari Malaysia terlalu menggoda supaya merendahkan pandangan.
“Kerajaan merasakan pakaian seragam pramugari Malaysia Airlines iaitu berkebaya menepati imej Malaysia. Kalau anda semua rasa pakaian pramugari kita menjolok mata, tolong jangan pandang,” kata Anthony.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Yusoff yang ingin tahu bila isu seragam pramugari menjolok mata akan berakhir.
Zawawi yang juga pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh di Jalan Kebun berkata, pakaian mendedahkan aurat bukanlah kayu ukur untuk menjadi pramugari yang baik, kerana pelanggan lebih menilai mutu perkhidmatan.
“Sebaiknya pakaian itu selesa, nampak sopan dan yang penting adalah perkhidmatan yang terbaik, cepat dan selesa dan mereka rasa dihargai, bukannya pakaian seksi,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Zawawi yakin kehadiran pemimpin utama Umno, seperti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak tidak akan mengubah pendirian pengundi DUN Sungai Kandis.
“Kita lihat juga penerimaan pengundi di sini, saya melihat yang hadir dalam perjumpaan itu kebanyakannya bukan pengundi tempatan, mungkin tetamu luar yang melancong ke Sungai Kandis sempena PRK,” katanya.