
“Sebab itu saya suruh Rafizi lawan Azmin sebab Azmin nak jadi barua kepada Mahathir,” demikian menurut suara yang sangat menyerupai ketua umum PKR itu.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin PKR menyangkal dakwaan dalam klip audio itu dengan menyifatkannya “palsu”.
Dalam maklum balas segera, Rafizi yang menyasarkan jawatan disandang Azmin dalam pemilihan parti akan datang berkata, suara itu bukan Anwar dan beliau “amat pasti” dengannya.
“Suara Anwar lebih bariton,” kata naib presiden PKR itu.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata rakaman audio itu ialah kerja orang “tidak bertanggungjawab” untuk mencipta “maklumat salah” menjelang pemilihan parti.
“Tujuannya ialah mewujudkan perpecahan dan ketidakharmonian dalam parti,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu.
Klip audio itu dipercayai dirakam tidak lebih 3 hari kerana ia turut membangkitkan keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai Khazanah Nasional Berhad susulan peletakan jawatan beramai-ramai ahli lembaga pengarah syarikat milik kerajaan itu pada 26 Julai lalu.
“Dia lantik diri dia jadi pengerusi Khazanah. Apa ni, rakyat rugi, MAS rugi, Khazanah rugi.”
Satu lagi klip audio berbunyi: “Dulu dia tuduh saya liwat…dia jangan lupa, apa jadi pada kes forex dia RM30 bilion” merujuk kerugian dialami Bank Negara akibat urus niaga mata wang asing pada 1990-an, ketika Dr Mahathir pertama kali menjadi perdana menteri.
Isnin lalu, Jabatan Perdana Menteri mengumumkan Dr Mahathir dilantik sebagai pengerusi Khazanah bagi menggantikan Datuk Seri Najib Razak yang meletak jawatan 31 Mei lalu, manakala Azmin sebagai ahli lembaga pengarah syarikat itu.