
Projek infrastruktur bernilai lebih AS$20 bilion dibekukan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bulan ini, susulan kebimbangan rasuah dan kemungkinan berlaku inflasi nilai kontrak.
Dua pegawai kerajaan mendakwa dana daripada projek mega itu dilencongkan melalui syarikat kosong luar pesisir yang digunakan untuk membayar hutang 1MDB hampir AS$700 juta.
Pegawai itu juga berkata, rakyat Malaysia yang bekerja untuk Najib menguruskan penyelewengan dana itu dengan bekerjasama dengan wakil dari syarikat China terbabit.
“Syarikat China mungkin terbabit dalam ’round trip’ (wang yang disalurkan ke negara lain dan kembali ke negara itu dalam bentuk pelaburan langsung asing) projek infrastruktur utama di Malaysia yang menyeleweng dana daripada projek ini untuk membantu 1MDB,” kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kepada WSJ.
Menurut laporan itu, Kementerian Luar China tidak membalas permintaan untuk mendapatkan komen.
Siasatan Malaysia memfokuskan pembinaan saluran paip petrokimia dan gas di Semenanjung serta Sabah yang diberikan kepada China Petroleum Pipeline Bureau, anak syarikat China National Petroleum Corp, bernilai AS$2.5 bilion.
Kementerian Kewangan berkata, lebih AS$2 bilion dibayar kepada China Petroleum, dengan sebahagian besarnya mendapat pembiayaan dari Bank Exim China.
Malaysia mengesyaki wang daripada projek itu digunakan untuk membayar hutang 1MDB, yang turut disiasat atas dakwaan rasuah di negara lain, termasuk Amerika Syarikat (AS), kata 2 pegawai itu.
Mereka menyuarakan kebimbangan terhadap pembabitan suspek dalam skandal 1MDB dan hakikat transaksi dilakukan sebelum tarikh pembayaran pinjaman.
Mereka turut membangkitkan kemungkinan wang diambil rakyat Malaysia dan China dalam urus niaga itu.
Seorang jurucakap China Petroleum Pipeline Bureau memberitahu WSJ, wang tunai yang diperolehi untuk saluran paip itu hanya digunakan ke atas projek berkenaan.
Bank Exim China tidak membalas permintaan untuk mendapatkan ulasan mereka.
Sementara itu, China Petroleum Pipeline Engineering Co Ltd (CPP) menafikan dana daripada 2 projek saluran paipnya di Malaysia digunakan untuk membayar hutang dikaitkan dengan 1MDB.
“Kami mahu menjelaskan semua dana dalam Bank Exim China hanya dibayar terus ke akaun bank CPP,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.
“Ini sejajar peraturan perbankan anti pengubahan wang dan perjanjian yang ditandatangani.
“Langsung tiada dana yang dibayar kepada mana-mana syarikat ke-3 berpangkalan di Pulau Cayman. Sebarang dakwaan atau kenyataan sebaliknya adalah palsu sama sekali.”
CPP menafikan kenyataan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dalam sebuah artikel BBC berhubung kemungkinan kaitan antara 1MDB dan projek saluran paip di Kedah serta Sabah.
CPP berkata, artikel itu “mengandungi maklumat palsu berkaitan projek saluran paip syarikat itu di Malaysia”.
“Kami meminta media melaporkan fakta dan tidak dipengaruhi atau ditekan sumber tidak dinamakan untuk melaporkan maklumat salah yang memfitnah CPP.”
Dalam wawancara bersama BBC, Pua yang juga pegawai khas Lim berkata, kementerian itu percaya wang itu digunakan untuk membayar hutang dikaitkan dengan 1MDB.
“Keseluruhan projek itu seperti penipuan. (Ada) unsur jelas pengubahan wang haram berlaku,” katanya sambil menambah kerja pembinaan belum bermula, hanya kajian perundingan disiapkan.
“Kita memberi wang – kepada syarikat China – dan mengesyaki wang ini disalurkan kepada pihak ada kaitan dengan pentadbiran terdahulu.”
Media melaporkan projek Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans Sabah (TSGP) diberikan kepada sebuah syarikat dikaitkan dengan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho yang dinamakan pihak berkuasa AS sebagai dalang utama di sebalik penyelewengan dana 1MDB.
Syarikat terbabit ialah Suria Strategic Energy Sdn Bhd (SSER), anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang ditubuhkan pada 2016.
Projek itu diberikan kepada China Petroleum Pipeline Bureau pada November 2016 dan ditandatangani Pengerusi SSER, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah yang juga bekas ketua setiausaha perbendaharaan.