
Bekas menteri itu hairan kenapa Lim tidak dilantik menganggotai Khazanah memandangkan saham syarikat itu dimiliki Menteri Kewangan Diperbadankan, sebuah badan di bawah Akta Kementerian Kewangan (Diperbadankan) 1957.
“Kita tak mahu satu ketika nanti, menteri kewangan hanya boleh baca laporan akhir setiap tahun.
“Kalau tak duduk dalam lembaga pengarah, susah dia nak jawab apa yang berlaku,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Wee yang juga ahli Parlimen Ayer Itam berkata, menteri kewangan perlu turut serta dalam proses membuat keputusan semua pelaburan Khazanah.
“Apa salahnya letak menteri kewangan di situ kerana saya tidak mahu kutipan hasil apabila kita ada pelaburan strategik, beliau tidak duduk dalam lembaga pengarah…ini nampak janggal.
“Harap ia jadi kenyataan kerana kita mahu menteri kewangan ada dalam proses buat keputusan pelaburan strategik yang akan dipengerusikan perdana menteri.”
Kelmarin, Jabatan Perdana Menteri mengumumkan pelantikan 5 ahli lembaga pengarah Khazanah, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi dan Datuk Seri Azmin Ali serta ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Mohd Hassan Marican sebagai ahli lembaga pengarah.
Mereka mengisi kekosongan ditinggalkan 9 ahli lembaga pengarah yang meletak jawatan beramai-ramai pada 26 Julai lalu, selepas Dr Mahathir secara terbuka mengkritik syarikat itu menyimpang daripada tujuan asal.