Azmin dedah PH dari awal cadang ‘royalti’ berdasarkan keuntungan

Azmin dedah PH dari awal cadang ‘royalti’ berdasarkan keuntungan

Menteri mendedahkan PH ketika menggubal Buku Harapan mencadangkan pembayaran 20% berdasarkan keuntungan selepas cukai.

KUALA LUMPUR:
Datuk Seri Azmin Ali digasak wakil rakyat pembangkang selepas dia mendedahkan Pakatan Harapan dari awal lagi mencadangkan pembayaran “royalti” 20% berdasarkan keuntungan selepas cukai.

Menteri hal ehwal ekonomi berkata PH sudah mengkaji kewajaran penambahan royalti itu berdasarkan “prinsip pengagihan lebih adil”.

“Mengikut kefahaman pimpinan ketika mengubal Buku Harapan ialah cadangan menambah jumlah royalti dari 5% kepada 20% berdasarkan keuntungan Petronas selepas cukai dan bukan jumlah hasil pengeluaran kasar,” katanya kepada Dewan Rakyat hari ini.

Kenyataan ahli majlis pimpinan PH itu menarik perhatian Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) yang bangun meminta Azmin membacakan kandungan Buku Harapan berkaitan kepada Dewan Rakyat.

“Dalam Buku Harapan jelas kita akan tambah jumlah royalti Petroleum kepada 20%,” kata Azmin selepas membacakan petikan berkenaan.

“Nak tafsir apa lagi? Bukan 20% campur 5%. Faham atau tidak?” kata Azmin cuba menepis serangan pembangkang.

Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) pula menegur Azmin cuba mengelirukan Dewan Rakyat kerana takrif “royalti” bukan seperti yang PH cuba katakan sekarang ini.

Azmin cuba menolak tuduhan itu dengan berkata PH hanya menggunakan “istilah umum”.

“Takrif yang terkandung dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974 tak sebut ‘royalti’ tapi ‘bayaran tunai’, tetapi istilah umum yang kita mudah faham ialah ‘royalti’.”

Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) dan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) mencelah untuk mengingatkan Azmin bahawa perkara yang dipersoalkan ialah janji royalti PH dan bukan takrif dalam undang-undang.

“Dulu masa buat janji tak rujuk akta?” kata Noh Omar.

“Kelakuan yang cukup biadab! Semua biadab!” kata RSN Rayer (PH-Jelutong) tiba-tiba kepada pembangkang.

Speaker Datuk Mohamad Ariff Md Yusof kemudian meminta wakil rakyat DAP itu menarik balik kata-katanya dan bertindak menutup mikrofon semua Ahli Parlimen bagi menenangkan Dewan Rakyat.

Azmin meneruskan ucapannya dan memaklumkan kerajaan akan menubuhkan satu jawatankuasa khas Kabinet melibatkan wakil-wakil rakyat Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak untuk mentafsir undang-undang berkaitan.

Azmin: 20% royalti minyak tidak akan dilaksana segera

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.