
Menteri hal ehwal ekonomi itu juga berkata pelantikan mereka tidak bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan (PH).
“Kalau kita lihat balik matlamat penubuhan Khazanah untuk menguasai aset strategik negara seperti Telekom, Tenaga Nasional Berhad dan sudah tentu aset strategik ini aset paling penting dalam kedaulatam negara.
“Maka peranan ketua eksekutif negara iaitu perdana menteri penting untuk menjadi oengerusi Khazanah,” katanya kepada pemberita di ruang legar Parlimen hari ini.
Mengenai pelantikannya pula, Azmin mewakili kementerian di dalam lembaga tersebut, kerana kerajaan mahu menggubal dasar dan agenda ekonomi baru yang akan dibentangkan dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 hujung tahun ini.
“Maka peranan kementerian hal ehwal ekonomi untuk memberi tumpuan tentang agenda ekonomi baru yang akan diterajui kerajaan baru ini,” katanya.
Semalam, Jabatan Perdana Menteri mengumumkan pelantikan 5 ahli lembaga pengarah termasuk Dr Mahathir sebagai pengerusi dan Azmin sebagai ahli lembaga. Turut dilantik Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Mohd Hassan Marican sebagai ahli lembaga.
Mereka mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh 9 ahli lembaga pengarah sebelum ini yang meletak jawatan beramai-ramai selepas Dr Mahathir secara terbuka mengkritik syarikat itu menyimpang daripada tujuan asal.
Pelantikan itu bagaimanapun dikatakan bercanggah dengan manifesto PH, di mana ia berjanji akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah di syarikat-syarikat milik kerajaan negeri dari kalangan profesional dan bukan kaitan politik.
Azmin memberi jaminan Khazanah akan tetap diuruskan golongan profesional.
“Perdana menteri sedang meneliti beberapa nama yang akan diumumkan dalam masa terdekat untuk perlantikan sebagai pengurusan Khazanah serta satu, dua nama tambahan bagi uruskan Khazanah, pengurusan kewangan dan pentadbiran.”
Ditanya tentang khabar angin bekas ketua pegawai eksekutif CIMB, Datuk Charon Wardini Mokhzani antara individu yang dipertimbangkan itu, Azmin berkata itu juga prerogatif Dr Mahathir.
“Akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.