Pemimpin PPBM tolak dakwaan Dr M ‘ultra DAP’

Pemimpin PPBM tolak dakwaan Dr M ‘ultra DAP’

Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Tariq Ismail menyangkal dakwaan Lokman Noor Adam yang Dr Mahathir mengetepikan orang Melayu dan mengutamakan kepentingan DAP.

Free Malaysia Today
Tariq Ismail berkata, Umno dan Lokman Noor Adam perlu belajar daripada kesilapan mereka serta menghapuskan retorik berasaskan kaum.
PETALING JAYA:
Pemimpin Melayu dilantik sebagai menteri untuk sekurang-kurangnya 6 jawatan utama dalam Kabinet berkaitan hal ehwal Melayu dan tiada seorang pun daripada mereka ialah orang DAP, kata Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Tariq Ismail.

Beliau berkata demikian sebagai menyangkal dakwaan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam yang Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini menjadi “ultra DAP” dan tidak lagi membela kepentingan bangsa Melayu.

Enam portfolio yang dipegang menteri Melayu ialah hal ehwal ekonomi, pembangunan usahawan, pembangunan luar bandar, pertanian, perumahan dan perdagangan dalam negeri.

Tariq berkata, kenyataan sedemikian yang dibuat ahli Umno seperti Lokman yang mewajarkan julukan “Melayu bodoh”.

“Orang Melayu tentunya tidak bodoh, tetapi disebabkan orang seperti itu (dari Umno), mereka tidak suka mengambil risiko.”

Semalam, Lokman mendakwa Dr Mahathir yang pernah dianggap “ultra Melayu” kini membela DAP kerana mengetepikan pemimpin Melayu dengan melantik pemimpin DAP memegang jawatan penting dalam Kabinet.

Seramai 18 daripada 28 menteri dalam Kabinet pimpinan Dr Mahathir ialah orang Melayu dan hanya 6 daripadanya ialah pemimpin DAP, manakala 18 daripada 27 timbalan menteri ialah orang Melayu dengan hanya 8 dari DAP.

“Jika ‘ultra-DAP’ yang dimaksudkan Lokman ialah ‘ultra-Malaysian Malaysia’, maka beliau hanya betul sebahagiannya,” kata Tariq yang merupakan cucu bekas timbalan perdana menteri, Tun Ismail Abdul Rahman.

Katanya, sudah tiba masa untuk orang Melayu diajar mereka sememangnya pemacu utama ekonomi dan jika mereka bekerja dengan komuniti Cina dan India Malaysia, mereka akan menjadi “3 kali ganda lebih kuat”.

“Kita perlukan satu sama lain untuk bekerjasama kerana kita semua dilahirkan di tanah ini yang merupakan tanah air kita,” katanya sambil menambah Umno dan Lokman perlu belajar daripada kesilapan mereka serta menghapuskan retorik berasaskan kaum.

“Dr Mahathir sentiasa mempromosikan pembebasan orang Melayu dengan mengubah sikap mereka, tetapi dalam fikiran orang Umno yang sudah rosak, mengubah sikap seseorang sama seperti mengubah budaya mereka.

“Satu-satunya cara untuk Malaysia maju ialah bekerjasama dan mara bersama.”

Ketua PPBM Bahagian Sri Gading itu mengingatkan ahli Umno yang keangkuhan parti itu menyebabkan kejatuhannya dalam pilihan raya umum ke-14 lalu.

Katanya, pengundi Melayu menolak retorik perkauman kaum dan mengalihkan sokongan mereka kepada “gabungan yang menggalakkan semangat bekerjasama”.

Lokman ialah calon BN di Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis pada 4 Ogos ini yang akan bertarung dengan calon Pakatan Harapan yang juga seorang ustaz, Zawawi Ahmad Mughni dan calon bebas, K Murthy.

Dr M bukan lagi ultra Melayu, tetapi ultra DAP, kata Lokman Adam

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.