PAS Pahang mahu bincang cadangan tukar cuti hujung minggu dengan istana

PAS Pahang mahu bincang cadangan tukar cuti hujung minggu dengan istana

Pesuruhjaya PAS negeri, Rosli Abdul Jabar berkata, cadangan menukar cuti hujung minggu di Pahang kepada Jumaat dan Sabtu berbanding Sabtu dan Ahad mengambil kira pandangan rakyat.

Free Malaysia Today
Rosli Abdul Jabar berkata, PAS Pahang akan membuat pungutan suara dan mengumpul tandatangan rakyat yang menyokong cadangan itu sebelum menghadap Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
KUANTAN:
PAS Pahang bersedia menghadap Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam usaha menjadikan Jumaat sebagai cuti hujung minggu.

Pesuruhjayanya, Rosli Abdul Jabar berkata pendekatan itu akan dibuat, sekiranya usul menukar cuti hujung minggu yang dikemukakannya Selasa lalu dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ditolak.

“Kami akan menghadap pemangku raja untuk menyatakan hasrat kami kerana mengambil apa yang berlaku di Johor, cuti Jumaat bukan datang daripada kerajaan, tapi daripada titah Sultan Johor (Sultan Ibrahim Sultan Iskandar).

“… jadi kami akan cuba sedaya upaya dalam isu ini. Tapi, kami juga menghormati semua hujah walaupun tidak bersetuju dengan cadangan ini, mahupun daripada DAP atau Barisan Nasional (BN),” katanya hari ini.

Rosli berkata, cadangan menukar cuti hujung minggu di Pahang kepada Jumaat dan Sabtu berbanding Sabtu dan Ahad pada masa ini dibuat selepas mengambil kira pandangan rakyat.

Sehubungan itu, beliau berkata, PAS Pahang akan membuat pungutan suara dan mengumpul tandatangan rakyat yang menyokong cadangan itu sebelum menghadap Tengku Abdullah.

“Kita akui perkara ini ada pro dan kontranya. Pada peringkat awal, mungkin berlaku sedikit kecelaruan, namun lama-kelamaan ia akan menjadi perkara biasa.”

Dalam perkembangan lain, Rosli berkata, walaupun pilihan raya umum ke-14 baru selesai, pihaknya sudah memulakan gerak kerja untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, PAS Pahang yakin mereka menjadi pilihan rakyat pada masa depan dengan mengambil kira “kealpaan dan kecelaruan BN”.

“Bagaimanapun, untuk masa ini, matlamat kami adalah menjadi pembangkang yang baik, prihatin kepada rakyat dan matang dalam usaha membantu kerajaan negeri membangunkan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.