Ahli akademik: Pelajar UEC perlu dapat kepujian subjek BM, lulus Sejarah

Ahli akademik: Pelajar UEC perlu dapat kepujian subjek BM, lulus Sejarah

Ketua Biro Strategi dan Dasar PPBM, Rais Hussin berkata, manifesto PH menuntut piawaian sama bagi pelajar UEC lulus subjek Sejarah untuk memasuki universiti awam.

Free Malaysia Today
PETALING JAYA:
Seorang pakar strategi Pakatan Harapan (PH) dan 2 ahli akademik menyokong keperluan lulus subjek Sejarah sebagai syarat kemasukan pelajar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke universiti awam, ketika mempertikaikan kenyataan seorang timbalan menteri baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Manifesto PH, Datuk Rais Hussin yang turut mengetuai Biro Strategi dan Dasar PPBM berkata, manifesto itu jelas menyatakan pengiktirafan sijil UEC “akan dinilai setaraf dengan syarat am kelayakan sedia ada untuk kemasukan ke universiti awam”.

Ketika ini, universiti awam menerima lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf dengannya, di mana pelajar perlu mendapat sekurang-kurangnya 5 kepujian, termasuk dalam subjek bahasa Malaysia (BM) dan lulus Sejarah.

Komen Rais jelas bertentangan dengan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching yang dilaporkan berkata, pelajar UEC hanya memerlukan kepujian dalam subjek BM dan bukannya lulus Sejarah.

Dua lagi pakar pendidikan juga bersetuju dengan keperluan untuk lulus subjek Sejarah sebagai syarat kemasukan ke universiti.

Rais memberitahu FMT “manifesto itu adalah jelas” dan piawaian sedia ada perlu diguna pakai untuk kemasukan ke universiti awam.

“Mereka yang menduduki UEC perlu memenuhi piawaian dan kriteria sama sekarang, tiada keraguan mengenai perkara itu.

“Kami secara khusus menyebut kepentingan BM diiktiraf sejajar Dasar Pendidikan Negara, tetapi turut menyatakan UEC akan dinilai setaraf dengan syarat am kelayakan sedia ada untuk kemasukan ke universiti awam.”

Free Malaysia Today
Rais Hussin berkata, pengiktirafan UEC bukan antara janji 100 hari PH dan ia tidak sama seperti menggoreng telur.

Rais berkata, PH akan terus mengikuti isu kontroversi itu dan konsisten dengan manifestonya sambil menegaskan pengiktirafan UEC bukan antara janji 100 hari PH.

“Ini tidak bermakna kami akan tunggu hingga akhir penggal untuk memenuhi janji ini, tetapi ini adalah perkara berkaitan Dasar Pendidikan Negara, ia tidak boleh dilakukan dengan terburu-buru. Ia tidak sama seperti menggoreng telur.”

Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia, Teo Kok Seong berkata, adalah adil untuk mengekalkan syarat kepujian dalam BM dan lulus Sejarah kerana 2 subjek itu adalah kunci kepada pembangunan negara.

“Sejarah penting untuk kita mempelajari masa silam kita, lebih memahami keadaan sekarang dan bersedia untuk masa depan. Tanpa mengambil kira fahaman politik, semua orang perlu menekankan syarat lulus Sejarah.”

Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Shamsul Amri Baharuddin berkata keperluan minimum untuk mengiktiraf UEC perlu sama dengan SPM.

Pengarah dan pengasas Institut Kajian Etnik UKM itu berkata, pelajar UEC boleh mengambil Sejarah dalam SPM secara subjek berasingan atau silibus UEC boleh diubah sejajar dengan SPM.

“Pelajar UEC turut belajar sejarah Malaysia dan dunia, ia bukannya subjek baru, cuma mereka mempelajarinya dalam bahasa Mandarin, jadi untuk lulus subjek itu tidak sepatutnya menjadi masalah kepada mereka.”

UEC tak termasuk dalam janji 100 hari PH, kata pengerusi manifesto

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.