
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata surat kepada pengarah CIA itu menimbulkan soalan mengenai individu yang mengarahkan surat itu ditulis.
“Perbuatan yang seakan-akan menjemput campur tangan asing dalam hal ehwal dalam negara.
“Kini timbul persoalan, ia ditulis atas arahan siapa dan bolehkah seorang pegawai berbuat demikian,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen.
Surat 3 halaman bertarikh 4 Mei itu, ditandatangani Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan JPM, Datuk Hasanah Ab Hamid, ditujukan kepada Gina Haspel selaku Pengarah CIA (Lantikan) ketika itu.
Melalui surat terbabit, MEIO meminta AS terus menyokong pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, sama ada Barisan Nasional (BN) menang mudah atau hanya meraih majoriti satu kerusi dalam pilihan raya umum lepas.
MIEO juga menggambarkan Najib sebagai pemimpin progresif dan mesra Amerika Syarikat dan akan terus menyokong kehadiran kuasa besar itu di rantau ini.
Lim berkata beliau tidak mahu melihat isu surat kepada pengarah CIA itu seperti melihat skandal 1MDB.
“Asalnya semua tak mengaku tetapi selepas dibongkarkan baru kita tahu ada pihak yang terima wang.
Beliau berkata kerajaan juga akan menyiasat jika ada surat-surat lain yang berkaitan seperti surat kepada pengarah CIA itu.
“Sekarang kita lihat, asalnya mereka yang juga menuduh kita minta bantuan dari negara asing tetapi sebaliknya tidak, mereka yang sebenarnya meminta bantuan asing.
Surat tersebut antara lain berkata Malaysia mengalu-alukan kehadiran AS di rantau ini, terutamanya di Laut China Selatan sebagai pengimbang terhadap sikap mendesak maritim China.
Ia juga menyebut “apa-apa isyarat yang menunjukkan kerajaan AS akan terus menyokong perdana menteri Najib dan kerajaan pimpinan beliau akan membantu mengukuhkan kestabilan kami dan memperkuatkan hubungan mesra sedia ada yang didorong oleh hubungan baik antara 2 pemimpin kita”.
Najib sebelum ini dilaporkan menafikan memberi arahan maupun mengetahui apa-apa tentang penulisan surat tersebut.