Najib: PH hanya beri manfaat kepada golongan kaya, penduduk bandar

Najib: PH hanya beri manfaat kepada golongan kaya, penduduk bandar

Bekas perdana menteri itu berkata polisi dan rancangan terkini PH menjurus kepada jurang pendapatan rakyat yang akan kembali tinggi.

Free Malaysia Today
Najib Razak berkata banyak projek dan bantuan kepada rakyat oleh kerajaan terdahulu dikurangkan atau dihentikan. (Gambar Youtube)
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak melahirkan kebimbangan jika konsep Malaysia Baharu yang dibawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya memberi manfaat kepada golongan kaya dan penduduk bandar sahaja.

Beliau berkata polisi dan rancangan terkini PH menjurus kepada jurang pendapatan rakyat yang akan kembali tinggi.

“Projek pengangkutan awam dan infrastruktur seperti ECRL, HSR dan projek paip gas yang memanfaatkan mereka yang kurang berkemampuan dan negeri yang kurang membangun dihentikan.

“Jumlah penerima BR1M dan jumlah wang yang akan dibayar dikurangkan, bantuan kepada nelayan dan petani dihentikan,” tulisnya di Facebook merujuk projek Laluan Rel Pantai Timur dan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura.

Selain itu, katanya, arah tuju ekonomi dan hubungan antarabangsa juga tidak membantu harga getah dan minyak kelapa sawit untuk pulih dan mencetuskan tekanan terhadap berjuta pekebun kecil dan peneroka.

Ahli parlimen Pekan itu juga berkata pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada kadar 0% juga memberi manfaat kepada golongan kaya berbanding miskin dengan menambah, kerajaan terdahulu mengenakan cukai lebih banyak kepada golongan kaya berbanding rakyat miskin.

“Memandangkan golongan kaya berbelanja lebih banyak, mereka membayar bahagian yang besar bagi GST. Ia juga membantu mengurangkan dan mengenakan cukai terhadap ekonomi gelap, mengurangkan lari cukai serta pengaliran keluar dana haram dan ‘illicit capital outflow’ (dengan izin).

“Sebab itu, GST mengutip lebih banyak berbanding SST (cukai jualan dan perkhidmatan). Lebihan perolehan GST itu kemudiannya disalurkan bagi membantu kumpulan B40.”

Selain GST, Najib berkata, kerajaan terdahulu juga menyalurkan pelbagai bantuan seperti BR1M, Klinik Rakyat 1Malaysia, Pusat Transformasi Bandar (UTC), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), bantuan nelayan dan petani, bantuan buku, projek perumahan dan infrastruktur pengangkutan awam.

Manakala Projek Central Spine Road, Lebuhraya Pan Borneo, Pengerang RAPID, ECRL pula menyediakan pertumbuhan ekonomi, pembangunan dan peluang pekerjaan bagi negeri yang kurang membangun di Pantai timur, Sabah dan Sarawak, katanya.

“Ini membawa kita kepada persoalan, adakah Malaysia baharu ini untuk golongan kaya dan penduduk bandar sahaja?” soalnya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.