Lembaga pengarah Khazanah tak dipaksa letak jawatan, kata Guan Eng

Lembaga pengarah Khazanah tak dipaksa letak jawatan, kata Guan Eng

Menteri Kewangan mengalu-alukan peletakan jawatan 9 ahli lembaga pengarah Khazanah sebagai 'tindakan bijak'.

KUALA LUMPUR:
Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengalu-alukan peletakan jawatan beramai-ramai ahli lembaga pengarah Khazanah Nasional sebagai “tindakan bijak” yang diambil tanpa paksaan dari kerajaan.

“Ia tidak dibincangkan jemaah menteri. Mereka sendiri yang membuat keputusan untuk meletakkan jawatan. Sekarang terserah kepada perdana menteri untuk menentukan kepimpinan baru,” katanya kepada pemberita di ruang legar Parlimen hari ini.

Khazanah dalam kenyataan hari ini mengumumkan peletakan jawatan semua ahli lembaga pengarah, termasuk pengarah urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar, untuk memudahkan peralihan yang lancar dan teratur di bawah kerajaan baru.

Perkembangan ini beberapa minggu selepas perdana menteri mengkritik Khazanah kerana menyimpang daripada tujuan asal membantu Bumiputera.

Akhbar Singapura, Straits Times (ST), melaporkan Azman dan 8 individu lain menyerahkan surat peletakan jawatan tanpa tarikh kepada pentadbiran Dr Mahathir selepas mesyuarat lembaga pengarah sebulat suara memutuskan kerajaan PH harus dibenarkan untuk menentukan kepimpinan baru syarikat.

ST menjangkakan lebih banyak perubahan di peringkat pengurusan atasan di syarikat-syarikat kerajaan dalam masa terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.