BN beri amaran pelaburan Khazanah boleh terjejas

BN beri amaran pelaburan Khazanah boleh terjejas

Bekas timbalan perdana menteri berkata portfolio pelaburan Khazanah akan terjejas jika PH menanganinya secara tangkap muat.

Free Malaysia Today
Gambar AFP
PETALING JAYA:
Barisan Nasional (BN) memberi amaran pelaburan pelaburan asing Khazanah Nasional dan kedudukan puluhan syarikat dibawahnya akan terjejas selepas peletakan jawatan semua ahli lembaga pengarah.

Pengerusi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata peletakan jawatan itu akan membuka peluang kenaikan pangkat kepada kakitangan sekarang dan juga lantikan orang-orang pilihan PH.

BN mengingatkan kerajaan bahawa lembaga pengarah terbabit terdiri daripada orang berkebolehan dan berpengalaman, oleh itu kerajaan mesti mencalon barisan yang setaraf ataupun lebih baik, agar pelaburan tidak terganggu dengan langkah penyusunan semula itu.

“Portfolio pelaburan Khazanah boleh terjejas jika lantikan ahli pengarah dibuat secara ‘tangkap muat’ dan berbaur politik tanpa mengutamakan prinsip korporat yang baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Sebagai contoh, Khazanah yang memiliki sejumlah pegangan dalam Tenaga Nasional, Telekom Malaysia, Axiata Group, CIMB Group, Malaysia Airports Holdings, IHH Healthcare dan memiliki Malaysia Airlines, dikhuatiri akan memberi impak negatif kepada kaunter di Bursa Malaysia.

“Tambahan pula, Khazanah terbabit dengan projek ‘sovereign wealth fund’ di Singapura melalui usahasama dengan Temasek Holdings dalam pembangunan enam fasa pembangunan hartanah di republik itu, termasuk Marina One and Duo.”

Khazanah hari ini mengumumkan peletakan jawatan semua ahli lembaga pengarah, termasuk pengarah urusan, Tan Sri Azman Mokhtar, untuk memudahkan peralihan yang lancar dan teratur di bawah kerajaan baru.

Perkembangan ini beberapa minggu selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik Khazanah kerana menyimpang daripada tujuan asal membantu Bumiputera.

Barisan Nasional berharap kerajaan akan menyelamatkan keadaan ini secepat mungkin agar portfolio pelaburan Khazanah dan keyakinan pelabur asing tidak terjejas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.