Bukan Auku tapi ahli akademi pengecut, kata Farid Al-Attas

Bukan Auku tapi ahli akademi pengecut, kata Farid Al-Attas

Prof Syed Farid Al-Attas berkata banyak perkara yang tidak menyalahi Auku seperti mengkaji isu kemiskinan.

Free Malaysia Today
Farid Al-Attas berkata AUKU jadi alasan untuk ahli akademi tidak berbuat apa-apa. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Ahli akademi terkenal, Prof Syed Farid Al-Attas berkata Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bukan faktor yang menyekat kebebasan akademi, sebaliknya sikap pengecut ahli-ahli akademi.

Malah, beliau merasakan kebebasan akademi bukanlah masalah sebesar orang sangkakan, tetapi cuma alasan untuk tidak berbuat apa-apa.

“Mereka kata ‘kita tak boleh buat macam ini sebab akta itu, nanti kena tangkap’. Ini semua tak masuk akal,” katanya di forum Kebebasan Akademik, Hak Asasi dan Kepelbagaian anjuran Projek Dialog hari ini.

Pensyarah di Universiti Kebangsaan Singapura itu berkata sebenarnya banyak ilmiah kreatif dan kritis yang boleh dilakukan di universiti.

“Anda boleh mengkaji kemiskinan, dan itu tidak menyalahi akta,” katanya.

“Sama ada mereka tidak berminat, tidak peduli atau jika berbeza pandangan, mereka cuma mendiamkan diri.”

Beliau berkata pentadbiran Datuk Seri Najib Razak tidaklah terlalu keras sehinggakan orang tidak boleh mengkritik atau berbincang.

“Kita boleh bercakap tentang kawalan ke atas media dan sebenarnya semua kerajaan cuba mengawal media,” katanya.

“Tetapi apabila kita bercakap tentang kebebasan akademi, banyak yang boleh kita lakukan di universiti. Ada orang-orang di universiti yang kritis dalam penulisan mereka.

“Saya bukan dari universiti tempatan, tetapi saya rakyat Malaysia, undang-undang Malaysia terpakai ke atas saya dan saya kritik kerajaan.”

Auku digubal pada 1971 yang menyediakan peruntukan-peruntukan mengenai penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran universiti dan kolej universiti awam.

Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya 9 Mei lepas berjanji akan memansuhkan Auku.

Pelajar berarak ke Parlimen desak AUKU dihapuskan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.