
Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu berkata, pelbagai insentif disediakan kerajaan untuk menggalakkan penubuhan taska di tempat kerja, termasuk subsidi yuran pengasuhan RM180 bagi setiap anak pegawai yang berpendapatan isi rumah tidak lebih RM5,000 sebulan.
“Bagi sektor swasta pula, insentif pelepasan cukai boleh dituntut dari kerajaan mengikut pekeliling Jabatan Hasil Dalam Negeri bertarikh 15 Februari 1996, yang mana pengecualian cukai 10% selama 10 tahun untuk ubah suai dan penyenggaraan bangunan bagi penyediaan taska.”
Beliau menjawab pertanyaan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) yang ingin tahu langkah mengawal selia pusat asuhan kanak-kanak, termasuk di rumah persendirian bagi mengelakkan kes penderaan kanak-kanak berulang.
Pada 3 Julai lalu, bayi 5 bulan, Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif dilaporkan hilang dari rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves, sebelum mayatnya ditemui dalam bahagian sejuk beku peti ais di rumah sama lewat malam hari kejadian.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian Adam Rayqal disebabkan pendarahan dalaman di bahagian otak dengan kesan retak di tempurung kepala.
Wan Azizah berkata, kementeriannya juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk menubuhkan taska di sekolah bagi memudahkan guru.
Katanya, sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk membolehkan piawaian kompetensi yang merangkumi aspek keselamatan, latihan dan kemahiran asas diguna pakai pengasuh serta mengawal selia pengasuh supaya berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Timbalan perdana menteri itu berkata, jawatankuasa itu juga akan bekerjasama dengan agensi perundangan untuk memperkukuhkan bukti pendakwaan dalam prosiding mahkamah membabitkan kes pengasuh.
Katanya, sebanyak 4,293 taska didaftarkan sehingga Jun lalu dan antara usaha meningkatkan keselamatan kanak-kanak di taska ialah memasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk memudahkan ibu bapa memantau dari jauh.