
Asheeq Ali dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ketika ditemui FMT, mencadangkan 3 langkah utama kepada Kementerian Pendidikan bagi transformasi institusi pengajian tinggi negara menjelang pembukaan semester baharu September ini.
“Sepatutnya beliau (Maszlee) mempercepatkan usaha mengembalikan kebebasan akademi mahasiswa dan autonomi universiti supaya universiti awam terutamanya mendapat nafas baru selepas pembukaannya September ini.
“Itu pun jika kerajaan benar-benar serius tentang janji mereka untuk mengembalikan kebebasan akademi dan autonomi universiti,” katanya.
Asheeq yang juga bekas aktivis Mahasiswa Tangkap MO1 berkata, transformasi di peringkat pengajian tinggi boleh dimulakan dengan mengubah bentuk pengendalian minggu orientasi siswa.
“Pertama, orientasi mahasiswa perlu diberi perhatian oleh Maszlee kerana minggu tersebut dianggap waktu kritikal dan peluang emas bagi pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti untuk ‘membasuh’ minda mahasiswa tahun 1 supaya mereka kekal ‘menyembah’ pihak atasan.
“Kedua, menteri juga perlu beri perhatian yang amat serius kepada minggu pilihan raya kampus (PRK) yang selalunya diadakan tidak lama selepas kemasukan semua mahasiswa,” jelasnya.
Menurutnya, soal selidik yang dilakukan olehnya bersama-sama Demokrat UKM berkenaan tahap keadilan PRK, mendapati 73.9% berpandangan PRK di UKM tidak adil disebabkan beberapa faktor.
“Setiap kali tiba musim PRK mesti kita akan dengar cerita yang tidak enak berkenaan proses pemilihan wakil pelajar itu. Contohnya, ‘tangan-tangan halus’ yang jelas mencampuri urusan mahasiswa sehingga proses pemilihan wakil mahasiswa menjadi tidak adil.
“Saya percaya ramai mahasiswa dapat melihat betapa kotornya pilihan raya kampus, tetapi hampir semuanya memilih untuk bungkam kerana takut dikenakan tindakan,” katanya.
Ketiga, Asheeq menggesa kementerian berkenaan segera menyelesaikan masalah kawalan terhadap mahasiswa yang jelas menganggu kebebasan bersuara dan pergerakan aktivis mahasiswa negara ini.
“Kalau tak diubah segera, kelak nanti negara kita akan ada 2 jenis mahasiswa.
“Pertama, yang takut nak bersuara dan juga mahasiswa yang duduk bawah tempurung sebab tak tahu bagaimana nak bersuara,” jelasnya.