PRK Sg Kandis: Penganalisis gesa Umno jangan main isu kaum, agama

PRK Sg Kandis: Penganalisis gesa Umno jangan main isu kaum, agama

Faizal Hazis berkata rakyat akan menilai sama ada Umno akan membawa 'politik baru' atau 'politik lama'.

PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik menggesa Umno mengabaikan isu kaum dan agama jika mahu mengatasi PKR pada pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis.

Faisal Hazis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata Umno sudah tentu menjadi perhatian kerana rakyat mahu melihat parti Melayu itu membawa “budaya politik baru”.

“Umno akan menjadi relevan jika tidak bergantung pada isu agama dan etnik untuk meraih undi. Rakyat akan menilai sama ada Umno akan membawa budaya politik baru atau lama,” katanya ditanya mengenai peluang Barisan Nasional berdepan Pakatan Harapan 4 Ogos ini.

Faizal berkata pada ketika ini PH selaku penyandang mempunyai kelebihan berbanding BN, ditambah dengan sentimen tolak Umno yang masih kuat dalam kalangan pengundi kerana pilihan raya umum baru 2 bulan berlalu.

“Ramai kata dalam pertandingan 1 lawan 1, penyokong PAS akan pergi ke Umno jika main isu agama dan Melayu. Namun pada PRU lepas Umno main isu itu, tapi akhirnya orang sokong PH atau PAS. Tiada jaminan penyokong PAS bagi sokongan pada Umno kerana mungkin penyokong PAS tak keluar mengundi,” tambahnya.

Semalam, calon Barisan Nasional, Datuk Lokman Noor Adam berkata dia akan membawa suara rakyat yang tidak berpuas hati apabila keistimewaan Melayu dipersenda dan kedudukan Bahasa Melayu diperlekeh.

Faizal tidak yakin isu itu akan memberi kesan pada pilihan raya kecil kerana rakyat akan memberi peluang kepada Pakatan Harapan yang baru 2 bulan memerintah.

“Kerajaan baru sepatutnya diberi peluang masa 5 tahun untuk buktikan kemampuan,” katanya.

Akhbar Singapura, Straits Times (ST) pada Jun melaporkan hanya 25-30% pengundi Melayu memilih PH berbanding kira-kira 95% pengundi Cina dan 70-75% pengundi India pada pilihan raya baru-baru ini, memetik kajian Merdeka Centre.

Kajian itu mendapati kira-kira 35-40% pengundi Melayu memilih Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno dan 30-33% menyokong PAS.

Ini bermakna minimum 65% atau maksimum 73% orang Melayu bersama pembangkang nasional sekarang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.