PRK Sg Kandis: Umno buat pusingan-U isu lambang parti

PRK Sg Kandis: Umno buat pusingan-U isu lambang parti

Umno mengambil keputusan menggunakan logo BN pada PRK Sungai Kandis, bukannya logo Umno seperti yang diputuskan sebelum ini.

Free Malaysia Today
Umno bimbang ia menimbulkan salah sangka dari orang ramai bahawa gabungan parti itu sudah berpecah.
KUALA LUMPUR:
Umno melakukan pusingan-U apabila mengambil keputusan menggunakan logo Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis, bukannya logo Umno seperti yang diputuskan sebelum ini.

Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Ismail Sabri berkata, keputusan diambil kerana bimbang ia menimbulkan salah sangka dari orang ramai bahawa gabungan parti itu sudah berpecah.

“Sebab kita masih lagi BN. BN masih lagi kekal tidak ada perpecahan. Mungkin ada sebahagian rakan kongsi kita memilih untuk berdiri bergerak sendiri di Sarawak.

“MCA, MIC masih dalam BN. PBB masih dalam BN, jadi BN masih ada BN. Maka apabila masih ada BN maka kita bertanding atas nama BN.

“Kita tidak mahu bagi isyarat salah pula jika kita bertanding atas Umno, nanti ada yang kata, kenapa BN seperti itu, adakah sudah berpecah?” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, Umno bersetuju menggunakan lambang parti itu sendiri dan bukan lambang BN.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong susulan penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Ogos ini sebagai hari pengundian, manakala hari penamaan calon pada Sabtu ini.

‘Umno’ mungkin ganti ‘Dacing’ di PRK Sg Kandis

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.