
Setiausaha agung PKR itu berkata, jawatan itu diwujudkan 11 tahun lalu untuk Anwar kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) melarang beliau menyertai pemilihan parti selepas dibebaskan dari penjara.
“Jawatan ketua umum diluluskan kongres PKR pada 2007 di Seremban, Negeri Sembilan. Pada waktu itu, Anwar dibebaskan dan dia ada sekatan (menyertai politik) selama 5 tahun.
“JPPM tidak benarkan dia bertanding dan pegang jawatan, maka kongres PKR mengiktiraf kedudukan Anwar dan mewujudkan jawatan ketua Umum.
“Soal sama ada Anwar pegang jawatan presiden dan jawatan ketua umum itu akan diisi atau tidak, ia akan dibincangkan secara dalaman parti,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Sementara itu, Saifuddin berkata, Anwar wajar diberi peluang menang tanpa bertanding jawatan presiden dalam pemilihan PKR bulan depan.
“Biarpun PKR sangat demokratik dan terbuka, namun kedudukan Anwar yang saya sebutkan adalah sebagai sebuah institusi. Penghormatan selayaknya harus diberikan.
“Anggota parti seharusnya memberikan sokongan kepada Anwar dengan membenarkan Anwar memegang jawatan itu tanpa bertanding.”
Katanya, tugas Anwar memimpin PKR lebih sukar berbanding ketika membina parti itu daripada “kosong” dan menjadi pembangkang kerana mereka kini ialah parti pemerintah.
Beliau menyifatkan hasrat Anwar bertanding presiden PKR seperti hero bagi mengisi fasa kemenangan parti dan kemenangannya nanti akan memberi kesan besar kepada PKR serta landskap politik negara.
Beliau juga yakin Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali tidak akan merebut jawatan presiden dengan Anwar.
“Ini pandangan peribadi, saya mengenali beliau, Azmin akan beri dokongan kuat kepada Anwar.”