
Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, umat Islam yang tidak mengotakan janjinya berdosa besar serta perlu meminta pengampunan daripada Allah dan kerajaan PH juga perlu meminta maaf secara terbuka kepada rakyat.
Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama itu berkata, Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan mengejut pada pilihan raya 9 Mei lalu disebabkan janji dalam manifesto PH.
“Rakyat beri undi sebab janji yang mereka berikan. Kempen (pilihan raya umum ke-14) mereka begitu mengujakan rakyat sehingga rakyat memilih mereka, takkan nak nafi rakyat dan menipu rakyat?
“(Kerajaan) tidak jujur tidak akan tahan lama,” katannya pada sidang media Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini dilaporkan berkata, kerajaan PH akan menanggung dosa jika menipu rakyat kerana gagal menunaikan janji dalam manifesto pilihan raya umum lalu.
“Kalau kami berdosa, kami tanggung, tapi kami tak anggap manifesto kitab suci al-Quran atau Bible, jadi bila sampai rintangan, kita perlu cari jalan lain untuk tanganinya,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Pengerusi PH itu berkata, kerajaan sudah menunaikan 2 daripada 10 janji yang terkandung dalam manifesto PH setakat 70 hari pentadbiran, manakala 6 janji lagi sedang ditunaikan dan 2 belum dilaksanakan.
Antara 10 janji yang akan dipenuhi PH dalam 100 hari pentadbiran ialah memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST), mengembalikan subsidi bahan api secara bersasar, skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada suri rumah dan menangguhkan pembayaran semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
PH juga berjanji menyeragamkan gaji minimum, menyiasat institusi terpalit skandal, khasnya berkaitan 1MDB, menghapuskan hutang tidak wajar ke atas peneroka Felda, mengkaji semula pemberian projek mega kepada negara asing, menubuhkan pasukan bertindak untuk mengkaji pemulangan autonomi yang dijanjikan kepada Sabah dan Sarawak seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 serta meningkatkan akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan.