
Nahzatulazran A Rahman, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak semasa sebutan kes tersebut.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memiliki item berunsurkan perbuatan keganasan dan berkaitan dengan IS mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 7 tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item tersebut, jika sabit kesalahan.
Nahzatulazran turut didakwa atas pertuduhan mengedar item yang berunsurkan perbuatan keganasan dan berhubung dengan IS mengikut Seksyen 130JB(1)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan.
Dia juga dituduh memberi sokongan kepada IS dengan mempromosikan kumpulan pengganas itu mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Benteng Sawah, Kampung Padang Temu, Melaka pada 10 September 2017.
Terdahulu tertuduh memohon kepada mahkamah supaya diberikan masa untuk melantik peguam dan mahkamah menetapkan 20 Ogos untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry.