Kecoh kerana ‘munafik’, Kor Ming berjaya kawal Dewan Rakyat

Kecoh kerana ‘munafik’, Kor Ming berjaya kawal Dewan Rakyat

Ketua Pembangkang, Ahmad Zahid Hamidi menggunakan perkataan 'munafik' ketika menegur kegagalan PH mengotakan janji mereka.

Free Malaysia Today
Zahid Hamidi memuji Nga Kor Ming ialah timbalan speaker yang adil dan berjaya mengawal kekecohan dalam dewan.
KUALA LUMPUR:
Dewan Rakyat kecoh apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggunakan perkataan “munafik” ketika menegur kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji dalam manifesto pilihan raya.

“Apakah ciri-ciri orang munafik? Bila berjanji tidak ditepati, bila bercakap, bohong. Itu orang munafik, kalau tahu tidak boleh laksanakan, jangan berjanji,” katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

Beberapa ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang kemudiannya bangun mencelah ucapan Zahid, tetapi Nga Kor Ming yang pertama kali menggalas tugas timbalan speaker Dewan Rakyat bertindak adil dan berkecuali dalam mengawal keadaan.

Beliau menegur RSN Rayer (PH-Jelutong) tidak menghormati peraturan dewan kerana bangkit mencelah Zahid tanpa meminta izin.

“Jelutong jika nak celah kena minta laluan, saya akan berlaku adil kepada kedua-dua pihak, sekarang adalah masa ketua pembangkang berucap,” kata Nga kepada Rayer yang beberapa kali bangun mencelah perbahasan Zahid.

Rayer tidak berpuas hati dengan Zahid menggunakan perkataan “munafik” yang didakwa ditujukan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan mohon presiden Umno itu menarik balik kenyataannya.

Disebabkan ramai wakil rakyat pembangkang dan kerajaan cuba mencelah tanpa menghiraukan peraturan dewan, Nga segera meminta Zahid menjelaskan maksud sebenar “munafik”.

“Mungkin kita berbeza agama, tapi kena hormat agama orang lain. Munafik adalah suatu aspek yang saya sebutkan tadi, kalau bercakap bohong, kalau janji tidak ditepati…itu tidak ditujukan kepada sesiapa, itulah sifat yang harus dielakkan, kalau kita mengaku kita orang Islam,” kata Zahid (BN-Bagan Datuk).

Rayer sekali lagi bangun dan mendakwa Zahid cuba menuduh Dr Mahathir munafik.

Nga bagaimanapun berkata, Zahid membuat kenyataan itu secara umum dan meminta Rayer berhenti mengganggu ucapan ketua pembangkang.

“Saya dengar penjelasan daripada yang berhormat Bagan Datuk, dia buat kenyataan secara ‘general’, secara prinsip, dia telah mengaku tidak menuju kepada perdana menteri, maka jika dia buat kenyataan umum seperti itu, maka ia tidak prejudis.”

Zahid segera memuji Nga ialah timbalan speaker yang adil.

“Itu bukan kerana kita jiran, tetapi inilah contoh seorang yang dipertua yang adil,” katanya sambil menyindir Rayer gagal menghormati peraturan dewan selepas menjadi adun selama 2 penggal.

Semalam, persidangan hari pertama Dewan Rakyat turut berlaku kekecohan antara ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan disebabkan dakwaan Pemuda Umno samseng dan gengster.

Kekecohan lebih sejam memaksa Speaker, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengarahkan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) keluar dewan kerana enggan menarik balik perkataan samseng dan gengster yang ditujukan kepada Pemuda Umno.

Enggan tarik balik Umno ‘samseng’, speaker arah Ramkarpal keluar

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.