
Azmin berkata, urusan pemilihan PKR adalah urusan dalaman parti dan baginya masih terlalu awal untuk memberikan sebarang keputusan berkaitan pemilihan parti itu.
“Saya akan umumkan, bila pemilihan semakin dekat. Hal ini adalah isu dalaman parti. Kalau saya beritahu sekarang, tiada apa yang hendak beritahu. Ia masih awal lagi,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Parlimen, hari ini.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu juga enggan memberikan sebarang keputusan sama ada akan menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi jawatan presiden PKR dalam pemilihan kali ini.
Terdahulu, Naib Presiden PKR Tian Chua memberitahu FMT bahawa beliau percaya Anwar selesa jika Azmin mengekalkan kedudukannya sebagai timbalan presiden.
Tian Chua berkata, gandingan Anwar dan Azmin mampu membawa parti ke peringkat lebih tinggi memandangkan kerjasama di antara 2 pemimpin berkenaan sudah wujud sejak sekian lama.
“Saya yakin Anwar akan selesa untuk Azmin menjadi timbalan parti dan secara tidak langsung, saya yakin pasangan ini akan bekerjasama dengan erat,” katanya.
Tian turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa hasrat Anwar bertanding sebagai presiden PKR akan menjejaskan laluan politik Azmin.
“Apa perlunya Anwar lawan Azmin, siapa tidak tahu Azmin adalah orang Anwar yang paling setia. Saya rasa lucu jika ada yang kata wujud kem Azmin dan kem Anwar.
“Di antara semua bekas pembantu politik Anwar, hanya Azmin yang kekal selepas 2 dekad. Apabila Anwar masuk (sebagai presiden) maka Anwar akan angkat Azmin ke dalam kemnya, siapa lagi yang Anwar percaya,” katanya.