Asyraf Wajdi: Tak adil label semua ahli Umno ‘samseng’

Asyraf Wajdi: Tak adil label semua ahli Umno ‘samseng’

Ketua Pemuda Umno itu berkata kesilapan beberapa individu tidak menggambarkan keseluruhan parti sebagai samseng.

Free Malaysia Today
Asyraf Wajdi Dasuki berkata sebagai seorang ahli parlimen, Ramkarpal Singh tidak wajar mengeluarkan perkataan yang tidak beradab.
KUALA LUMPUR:
Pemuda Umno berkata tidak adil untuk mengatakan ahli-ahli Umno samseng atas kesilapan beberapa ahli parti itu pada masa lalu.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata kesilapan beberapa ahli Umno itu tidak menggambarkan keseluruhan parti Umno itu sebagai samseng.

“Sebab 1 atau 2 individu, bukan melambangkan keseluruhan parti dan adakah adil untuk label secara keseluruhan parti. Saya tak fikir itu adil sebab saya tak terlibat.

“Saya rasa tidak wajar sebagai seorang ahli parlimen masih lagi mengungkit perkara lepas. Kita sentiasa bergerak ke depan,” katanya kepada FMT ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Beliau mengulas mengenai tindakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh menuduh Pemuda Umno samseng dan gengster semasa sesi Dewan Rakyat semalam.

Ramkarpal membuat dakwaan itu berdasarkan kejadian menimpa bapanya, Karpal Singh, diserbu sekumpulan ahli Pemuda Umno di Parlimen pada Februari 2009, selepas menyalahkan mereka atas ancaman bunuh yang diterimanya berikutan kenyataannya mengenai krisis kerajaan di Perak.

Ramkarpal juga memberikan contoh peristiwa Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad diserbu sekumpulan pemuda dari Pasir Salak di Parlimen pada November 2016, kerana memanggil Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman sebagai “sial”.

Ramkarpal berkata peristiwa seperti itu menunjukkan tingkah laku samseng oleh ahli-ahli Pemuda Umno.

Speaker Datuk Mohamad Ariff Md Yusof kemudiannya mengarahkan Ramkarpal keluar Dewan Rakyat selepas beliau enggan menarik balik perkataan itu terhadap ahli-ahli Umno.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata sebagai seorang ahli parlimen, Ramkarpal tidak wajar mengeluarkan perkataan yang tidak beradab.

“Dia kena berjiwa besar dan mematuhi peraturan, adab dan akhlak dalam Parlimen.

“Dia menimbulkan perkara yang sudah berlalu bertahun-tahun. Saya pun tak ingat perkara itu timbul,” katanya.

Dewan Rakyat kecoh akibat ‘Pemuda Umno samseng, gengster’

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.