
Khairuddin juga mencadangkan kerajaan memperkenalkan elaun bulanan kepada isteri-isteri bagi membantu mereka secara semasa, “kerana mungkin ada yang tercicir kerana diceraikan dan sebagainya.”
Timbalan perdana menteri berkata, kerajaan hanya akan memberi caruman bulanan KWSP RM50 kepada isteri pertama kerana lelaki yang mampu berpoligami sudah tentu boleh memberi nafkah kepada semua isterinya.
“Kalau nak kata bagi kepada isteri-isteri itu adalah tanggungjawab suami, kita bagi insentif itu untuk simpanan, kegunaan masa depan isteri (pertama), kalau ada apa-apa perkara tidak diingini berlaku.
“Kalau suami mampu kahwin 2 atau 3, mesti mampu bagi nafkah kepada semua (isteri),” katanya menjawab soalan Khairuddin di Dewan Rakyat hari ini.
Skim caruman KWSP untuk suri rumah ialah satu daripada janji Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya umum ke-14.
Caruman itu dibuat melalui pemotongan 2% gaji suami dan RM50 daripada dana kerajaan.
Wan Azizah berkata, skim caruman KWSP untuk suri rumah akan dilaksanakan dalam 100 hari menerusi 3 fasa utama.
Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu berkata, beliau sudah mempengerusikan fasa pertama bengkel mekanisme pelaksanaan skim caruman KWSP untuk suri rumah.
“Suri rumah adalah golongan yang terdedah kepada kesusahan apabila terdapat perubahan mengejut dalam rumah tangga, seperti kematian suami, penceraian.
“Cadangan asal melibatkan simpanan untuk suri rumah melalui caruman pekerja, iaitu dari suami 2%, sumbangan kerajaan sebanyak RM50 sebulan,” katanya sambil memaklumkan wang itu boleh digunakan selepas pencen dan ketika berdepan kematian suami atau perceraian.