
Pengerusi Jawatankuasa Manifesto, Rais Hussin menepis dakwaan kerajaan memungkiri janji dengan pelantikan bekas hakim Mohamad Ariff Md Yusof sebagai speaker Dewan Rakyat pada Isnin.
“Saya tak faham mengapa ada orang bercakap tentang ‘u-turn’. Nampaknya ada orang tak faham manifesto kami. Saya ketawakan mereka. Mereka tak baca manifesto kami betul-betul.
“Kalau kami kata speaker dari kedua-dua dewan Parlimen akan dilantik dalam tempoh masa 100 hari, bolehlah kamu kata kami mungkir janji. Tapi kami kata hal ini akan dilakukan dalam tempoh masa 5 tahun pertama. Jadi mengapa kecoh sangat?” katanya.
Beliau mengulas amaran pemimpin Pemuda PKR Syukri Razab kepada PH agar jangan mudah memungkiri dasar-dasarnya, seperti dalam soal pelantikan speaker kerana ia akan menjadi duluan kepada kerajaan untuk memungkiri janji-janji gabungan itu.
Sepuluh perkara dijanjikan PH pada pilihan raya umum ke-14 akan dilaksanakan dalam 100 hari pertama menjadi kerajaan.
Gabungan itu juga menjanjikan 60 perkara yang akan dilaksanakan dalam 5 tahun pertama memerintah.
Rais berkata janji PH untuk melantik speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara tergolong dalam kategori kedua.
Beliau ditanya bagaimana Parlimen boleh bersidang tanpa melantik speaker, atau kerajaan memulakan siasatan dan tindakan undang-undang tanpa ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan peguam negara mengangkat sumpah.
Rais berkata garis panduan dan protokol untuk penggantian speaker sudah ditetapkan, dan sebelum ini speaker baru pernah dicadangkan dan mengangkat sumpah dalam penggal yang sedang berjalan.
“Sistem demokrasi yang kita amalkan di Malaysia membenarkan perkara ini. Peguam negara yang baru pun dilantik untuk berkhidmat selama 2 tahun, bukan 5 tahun,” katanya.
“Akhirnya, dalam penggal pertama kerajaan PH, kita akan dapat penuhi semua 60 janji kami.
“Tetapi mesti dilakukan dalam keadaan yang betul,” katanya.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan pelantikan Ariff, mengatakan manifesto bukan kitab suci tetapi panduan untuk diikuti, dan kerajaan perlu praktikal dalam melaksanakannya.
Rais bersetuju dengan Dr Mahathir, mengatakan sudah ada satu tempoh masa ditetapkan untuk semua janji-janji PH. Dia menepis kebimbangan bahawa PH tidak mampu memenuhinya.
Beliau bagaimanapun mengalu-alukan kritikan membina terhadap PH dan pelaksanaan dasar-dasarnya, kerana semua orang mengambil bahagian dalam membina Malaysia “baru”.
“Tetapi tolonglah baca manifesto kami betul-betul,” tambahnya.