Najib kecewa jawapan Azmin berhubung HSR

Najib kecewa jawapan Azmin berhubung HSR

Bekas perdana menteri berkata HSR merupakan satu tender terbuka antarabangsa yang dipanggil secara bersama oleh kerajaan Malaysia dan Singapura.

Free Malaysia Today
Najib Razak mempersoalkan adakah Azmin Ali maksudkan kerajaan Singapura menyembunyikan ‘kos terselindung’ berkenaan.
PETALING JAYA:
Datuk Seri Najib Razak meluahkan kekecewaannya terhadap jawapan yang diberikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkenaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang diutarakan olehnya dan Ahli Parlimen Ayer Hitam Datuk Seri Wee Ka Siong.

Bekas perdana menteri itu berkata, projek HSR merupakan satu tender terbuka antarabangsa yang dipanggil secara bersama oleh kerajaan Malaysia dan Singapura.

Menurutnya, tender itu hanya ditutup pada 28 Disember tahun ini dan pembida yang berjaya akan dinilai serta diputuskan secara bersama oleh kedua-dua negara.

“Tender itu juga mensyaratkan pembida untuk menawarkan pakej pembiayaan dan kewangan. Berikutan projek HSR adalah sangat kompetitif dan lazimnya pembida akan disokong oleh kerajaan masing-masing.

“Untuk itu, pakej pembiayaan juga sangat kompetitif di mana faedah pada kadar sifar atau 0.1% bukanlah sesuatu yang luar biasa. Tidak lama dahulu, sebuah syarikat Jepun memenangi projek HSR di India dengan pakej pembiayaan 0.1% faedah bagi tempoh 50 tahun dengan 15 tahun moratorium,” katanya menerusi kiriman Facebook.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Azmin di Dewan Rakyat yang berkata kos tersembunyi adalah punca sebenar projek HSR mencecah RM110 bilion berbanding kos asal RM55 bilion.

Mengulas lanjut, Najib yang juga ahli parlimen Pekan berkata projek HSR yang berprofil tinggi juga menarik perhatian pembida yang agresif di seluruh dunia

“Sebab itu, adalah mengecewakan apabila menerima jawapan dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap dakwaan mereka bahawa kos HSR adalah RM110 bilion, adalah berganda daripada pada anggaran RM55 bilion dan RM70 bilion yang sudah diunjurkan oleh BN dan kerajaan Singapura.

“Apabila disoal, Azmin hanya mampu menjawab kos RM110 bilion adalah kos anggaran mereka dan ia mencakupi kos tersembunyi yang tidak dihuraikan biarpun tender yang akan diputuskan oleh agensi kedua-dua negara belum ditutup, kos belum dimuktamadkan dan pakej pembiayaan masih tidak diketahui,” tegasnya.

Najib turut mempersoalkan adakah Azmin maksudkan kerajaan Singapura menyembunyikan “kos terselindung” berkenaan.

Beliau turut mempersoalkan mengapa kerajaan PH tidak mendedahkan penilaian impak ekonomi projek HSR di mana ia akan menunjukkan manfaat ekonomi serta peluang pekerjaan yang bakal hilang sekiranya projek berkenaan dibatalkan.

“(Dan ia) turut tidak diendahkan oleh menteri hal ehwal ekonomi yang memilih untuk membuat lawak daripada menjawab soalan ini.

“Ini bukan satu permulaan yang baik untuk Parlimen kerana projek sebesar ini memerlukan jawapan yang sempurna kerana ia memberi kesan kepada jutaan rakyat, beratus ribu pekerjaan, hubungan antarabangsa dan aliran ekonomi masa depan Malaysia,” tegasnya.

Najib berkata, daripada jawapan kerajaan PH yang meragukan terhadap mengapa kos projek HSR berganda kepada RM110 bilion, menunjukkan kelaziman mereka untuk menggandakan kos projek yang dimulai oleh BN seperti HSR, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) serta mendakwa BN menyembunyikan kos yang sebenar.

“Mereka kemudian akan mendakwa berjaya mengurangkan kos projek itu kepada separuh dan mendabik dada walhal kos baharu mereka adalah lebih tinggi dari kos asal BN.”

Najib lebih layak jadi ketua pembangkang, gurau Azmin

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.