Dewan Rakyat kecoh akibat ‘Pemuda Umno samseng, gengster’

Dewan Rakyat kecoh akibat ‘Pemuda Umno samseng, gengster’

Kekecohan berlarutan lebih sejam apabila Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh enggan menarik balik dakwaan Pemuda Umno samseng dan gengster.

Free Malaysia Today
Beberapa ahli Parlimen kerajaan dan Umno bangun mencelah dan mendesak Ramkarpal menarik balik dakwaan Pemuda Umno samseng dan gengster.
KUALA LUMPUR:
Hari pertama sidang Dewan Rakyat berlaku kekecohan lebih sejam apabila ahli Parlimen pembangkang berang dengan wakil kerajaan yang didakwa menuduh Pemuda Umno samseng dan gengster kerana mengasari seorang bekas wakil rakyat berkerusi roda.

Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) mendesak Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) menarik balik dakwaan itu, tetapi beliau enggan berbuat demikian.

Ramkarpal membuat dakwaan itu berdasarkan kejadian menimpa bapanya, Karpal Singh, diserbu sekumpulan ahli Pemuda Umno di Parlimen pada Februari 2009, selepas menyalahkan mereka atas ancaman bunuh yang diterimanya berikutan kenyataannya mengenai krisis kerajaan di Perak.

Keadaan semakin tegang apabila Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) bangun mendakwa Ramkarpal yang sebenarnya ialah samseng.

“Macam mana saya nak tarik balik perkataan samseng, dia (Ramkarpal) memang samseng,” kata Bung Moktar.

“Bukit Gelugor tarik balik perkataan gengster, tuduh Pemuda Umno samseng,” kata Shamsul Anuar.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon kemudiannya meminta Ramkarpal manarik balik dakwaan itu.

“Saya tidak pernah panggil Pemuda Umno gengster. Saya tidak akan tarik balik,” kata Ramkarpal yang turut disokong RSN Rayer (PH-Jelutong).

Beliau dan Datuk Seri Michael Asang (BN-Beluran) mendesak speaker Dewan Rakyat membuat ketetapan kerana berang dengan kedegilan Ramkarpal menarik balik dakwaannya.

Rashid meminta semua ahli Parlimen duduk dan memberi ruang kepada Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) untuk meneruskan perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

“Sesiapa yang tidak duduk boleh keluar,” kata Rashid.

“Kalau Bukit Gelugor keluar, saya keluar,” kata Bung Moktar.

Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) meminta speaker membuat keputusan bagi mengelakkan kekecohan itu berterusan.

Johari kemudian bangun mempertahankan Rashid.

“(Anda) semua kawan-kawan saya, semua nak buli speaker sahaja, tahulah awak senior,” katanya merujuk tindakan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang mempersoalkan kegagalan Rashid mengawal keadana dalam Dewan Rakyat.

“Mana ada buli speaker,” jawab Noraini yang disusuli dengan teriakan “Rule of law” oleh beberapa ahli Parlimen pembangkang.

Ismail yang juga bekas timbalan speaker Dewan Rakyat memetik Peraturan Mesyuarat 43 yang menyatakan keputusan speaker adalah muktamad.

Bagaimanapun, Bung Moktar yang masih tidak berpuas hati berkata: “Adakah ini namanya kerajaan baru?”

Rashid kemudiannya meminta ahli Parlimen yang tidak berpuas hati dengan keputusannya supaya keluar dewan dan menangguhkan sidang Dewan Rakyat sehingga 2.30 petang nanti.

Beliau membuat keputusan itu selepas beberapa cubaan untuk menenangkan ahli Parlimen terbabit tidak diendahkan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.