
Penyokong Pemantau Malaysia Baru yang kebanyakannya berbaju hitam, mula berkumpul di ibu pejabat polis Bukit Aman seawal 8 pagi tadi, bagi menunjukkan solidariti kepada Yang di-Pertuan Agong serta membantah pemerintahan DAP yang didakwa memperkudakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kumpulan itu diketuai Exco Pemuda Umno, Faisal Ismail Aziz dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam yang juga presiden Pemantau Malaysia Baru.
Beberapa orang turut berucap, termasuk artis Ellie Suriati memberi alasan mengadakan bantahan kerana tidak mahu Malaysia menjadi sebuah republik.
Mereka mendakwa polis mengadakan sekatan atas arahan Dr Mahathir dan ingin tahu kenapa polis tidak membenarkan mereka berarak ke Parlimen sejauh kira-kira 1km.
“Kita dah cuba nak berhimpun, tapi dihalang polis yang mana saya tahu mereka hanya jalankan tugas. Polis hanya dengar arahan daripada Mahathir.
“Nampak sangat Tun Mahathir takut. Mereka sebenarnya (kerajaan) nak kita gempur, kali ini kita akur,” kata Lokman ketika berucap di depan peserta yang berkumpul sejak 8.30 pagi tadi.

Lokman kemudiannya mengarahkan peserta bersurai secara aman tanpa melakukan sebarang provokasi kira-kira 10 pagi.
“Jangan bertempur dengan polis. Kita hari ini hanya nak pertahankan apa yang ada dalam Perlembagaan. Jangan kita dilabel sebagai rasis dan ganas,” katanya.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V merasmikan Persidangan Penggal Pertama Dewan Rakyat dan Dewan Negara selepas pilihan raya umum ke-14 yang menyaksikan Pakatan Harapan mengalahkan Barisan Nasional secara mengejut.
Persidangan itu bermula semalam dengan majlis mengangkat sumpah speaker Dewan Rakyat, selepas Dr Mahathir mengumumkan pelantikan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof untuk memegang jawatan itu.
Dr Mahathir turut mengetuai istiadat mengangkat sumpah 220 ahli Dewan Rakyat, kecuali 2 ahli Parlimen, termasuk Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bercuti sakit selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada pankreas, baru-baru ini.
Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari sehingga 16 Ogos ini.