
“Saya sedang berkomunikasi dengan rakan sejawat di Singapura. Minggu lalu, saya diberikan taklimat oleh peguam negara dan menyerahkan kes berkenaan (kepada Kabinet) pada Rabu.
“Kami akan bertemu dengan rakan sejawatan saya di Singapura tidak lama lagi dan akan membincangkan perinciannya,” katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Pelaburan Malaysia-Kesatuan Eropah (EU) 2018, hari ini.
Azmin berkata, pengumuman berhubung perkara itu akan dibuat minggu ini.
Terdahulu, beliau dalam ucapannya berkata, jumlah dagangan Malaysia dan EU meningkat 25.1% tahun ke tahun pada April kepada RM16.15 bilion, berjumlah 10.4% daripada jumlah dagangan Malaysia.
Katanya, eksport berkembang 19.5% tahun ke tahun, manakala import meningkat 32.8% kepada RM7.22 bilion.
Mengenai pelaburan langsung asing (FDI), beliau berkata, EU merekodkan jumlah FDI sebanyak RM107 bilion pada suku pertama 2018, manakala Malaysia melabur RM59 bilion di Eropah, kebanyakan dalam sektor perkhidmatan bernilai RM35.3 bilion.
Azmin berkata, Malaysia akan meningkatkan usaha untuk menarik lebih banyak FDI berkualiti pada masa depan, terutama pelaburan dalam kemudahan baru yang akan memberi sumbangan kepada pembentukan nilai sebenar dan memacu produktiviti serta inovasi yang melengkapi ekosistem perniagaan negara.
“Kami mahu menyaksikan penubuhan loji pengeluaran dan kilang. Kita juga mahu menyaksikan pemindahan teknologi, penjanaan peluang pekerjaan, selain perusahaan kecil dan sederhana menggerakkan rantaian nilai.”