Umno: Tangguh sidang Dewan Rakyat, patuhi peraturan lantik speaker

Umno: Tangguh sidang Dewan Rakyat, patuhi peraturan lantik speaker

Annuar Musa ragu-ragu apakah Pakatan Harapan menyerahkan nama calon speaker 14 hari sebelum mesyuarat bermula.

Free Malaysia Today
Annuar Musa ragu-ragu Pakatan Harapan patuhi peraturan Parlimen.
GEORGE TOWN:
Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa menyeru sidang Dewan Rakyat ditangguhkan sehingga proses yang sudah ditetapkan dalam hal pelantikan seorang speaker dipatuhi.

Beliau mempersoalkan sama ada pemerintah benar-benar mematuhi prosedur dan menyerahkan nama calon pada masanya.

Bekas hakim, Datuk Mohamad Ariff Yusof, dicadangkan Pakatan Harapan. Namanya disahkan hari ini oleh Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengikut peraturan Dewan Rakyat, nama-nama calon dan penerimaan pencalonannya mesti diserahkan kepada setiausaha Dewan Rakyat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum sidang pertama Dewan Rakyat. Speaker dipilih wakil rakyat secara undi rahsia.

Dewan Rakyat dijadualkan bersidang esok, untuk angkat sumpah para Ahli Parlimen yang terpilih pada pilihan raya umum Mei lepas.

Kerajaan berkata ia menghantar nama calon kepada Dewan Rakyat pada 2 Julai. Annuar bagaimanapun tertanya adakah tarikh surat pencalonan itu diundurkan. “Ada silap mata dalam pencalonannya?”

“Lapan tahun lalu, ketika kami mahu mencalonkan Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai speaker, setiausaha Dewan Rakyat terbang ke Kota Kinabalu untuk mengesahkan surat aku janjinya,” katanya.

Annuar berkata kenyataan-kenyataan daripada pemimpin Pakatan Harapan nampaknya bercanggah dalam isu pemilihan calon ini, dan laporan mengatakan majlis presiden gabungan itu hanya mencapai satu keputusan baru-baru ini.

Beliau menegur Pakatan Harapan kerana tidak dapat mematuhi “peraturan asas yang mudah” iaitu menamakan calon dalam tempoh masa 14 hari.

“Mana kedaulatan undang-undang dalam semua ini? Oleh itu sidang Dewan Rakyat wajar ditangguhkan ke kemudian hari bagi membolehkan proses pemilihan speaker dijalankan,” katanya.

‘Ariff pilihan yang baik’

Seorang lagi pemimpin Umno, bekas menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata ada duluan untuk seorang bekas hakim menjadi speaker. Beliau berkata speaker yang paling lama berkhidmat ialah bekas hakim Mohamed Zahir Ismail, yang berkhidmat dari 1982 hingga 2004.

“Memilih seorang bekas hakim sebagai speaker ialah langkah yang sangat bijak. Saya harap dia melaksanakan tugas dengan adil, dan saya yakin dia mampu melakukannya.”

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang juga yakin akan kebolehan Ariff dan berkata Ariff akan menjadi pencetus kepada reformasi Parlimen ke tahap berkelas dunia.

“Dengan pimpinan Ariff, rakyat akan mendapat Parlimen yang boleh dibanggakan…bukan Parlimen yang membutakan mata, menutup telinga dan membisu,” katanya.

‘Lebih akses kepada wartawan’

Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran menggesa Dewan Rakyat membenarkan para wartawan akses ke ruang legar Parlimen untuk bertemu dan menemubual Ahli Parlimen dan menyertai sidang media tidak rasmi.

Beliau berkata media sekarang ini diletakkan di bilik media di aras bawah.

“Tidak boleh ada halangan yang menghalang kebebasan media,” katanya, “tetapi speaker boleh meminta mereka menjaga tertib semasa berada di ruang legar.”

Wartawan disekat dari memasuki ruang legar oleh Pandikar yang mengatakan kebanyakan Ahli Parlimen tidak selesa dengan kehadiran media berlegar di ruang legar.

Kesatuan Wartawan Kebangsaan dan Persekutuan Wartawan Antarabangsa mengecam sekatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.