Kerjasama GPS, PH bangunkan Sarawak, kata Abang Johari

Kerjasama GPS, PH bangunkan Sarawak, kata Abang Johari

Beliau berkata kerajaan negeri memberi penekanan kepada pembangunan secara menyeluruh termasuklah pembangunan di luar bandar agar rakyat dapat merasai pembangunan tersebut bersama-sama.

Free Malaysia Today
Abang Johari (kanan) berkata walaupun fahaman politik berbeza namun kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan PH akan terus terjalin. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus bekerjasama dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar Sarawak terus membangun khususnya dari segi pembangunan infrastruktur, kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata kerajaan negeri memberi penekanan kepada pembangunan secara menyeluruh termasuklah pembangunan di luar bandar agar rakyat dapat merasai pembangunan tersebut bersama-sama.

Katanya ketika taklimat bersama Tun Dr Mahathir Mohamad pagi tadi, perdana menteri sempat memberikan beberapa cadangan serta agenda untuk pembangunan negeri.

“Pada masa yang sama beliau (Dr Mahathir) amat teruja dan berbangga dengan pencapaian serta pembangunan di negeri ini,“ katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengucapkan selamat jalan kepada Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini, hari ini.

Abang Johari berkata walaupun fahaman politik berbeza namun kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan PH akan terus terjalin.

Dr Mahathir yang juga pengerusi PH, tiba di Kuching semalam dalam lawatan pertama beliau ke negeri ini selepas menjadi perdana menteri kali kedua susulan kemenangan PH dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Semalam, beliau dan Dr Siti Hasmah menghadiri majlis akad nikah dan resepsi perkahwinan cucu Pengerusi Tenaga Nasional Berhad Tan Sri Leo Moggie.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.