
Beliau berkata daripada jumlah itu, 9 orang adalah kanak-kanak prasekolah dari Sekolah Kebangsaan Kiau.
“Hanya prasekolah sahaja yang diarah tutup kerana terdapat kanak-kanak yang dijangkiti HFMD setakat ini. Penutupan itu dibuat untuk membolehkan premis dibersihkan dan rangkaian jangkitan dapat diputuskan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Maimunah Suhaibul berkata setakat ini hanya sebuah prasekolah di Sabah ditutup sementara susulan penularan HFMD, iaitu prasekolah di Sekolah Kebangsaan Kiau, Kota Belud, yang ditutup selama 10 hari sejak 11 Julai lepas.
Penyakit tangan, kaki dan mulut adalah sejenis penyakit yang berpunca daripada virus yang mudah berjangkit, terutama virus Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71) dan boleh merebak menerusi air liur, cecair luka dan najis.
Tanda-tanda jangkitan termasuk demam, ruam dan bintik-bintik di tapak tangan dan kaki serta ulser pada mulut dan lidah, selain jangkitan pada saluran pernafasan atas dan sesak nafas.