
Anwar berkata keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan seluruh pucuk pimpinan PKR bagi merebut jawatan yang kini disandang Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Mutakhir ini terdapat beberapa pandangan mengenai keperluan untuk saya turun ke gelanggang mengemudi PKR selaku presiden menggantikan Azizah. Saya mengamati setiap pandangan yang dilontar dengan penuh teliti,” katanya.
“Setelah berbincang dengan Azizah, timbalan presiden dan kempimpinan lain serta mengambil kira segenap pandangan dan keperluan demi kelangsungan PKR, dan dengan penuh kesedaran atas prinsip ‘iltizam bil jamaah’, saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden PKR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, sambil memberitahu beliau akan mula menggalas tugas itu selepas kongres PKR jika diberi mandat berbuat demikian.
Anwar turut menyingkap sejarah beliau didesak pimpinan PKR sejak 2007 untuk menggalas jawatan presiden tetapi gagal berbuat demikian kerana mendapat tekanan hebat daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (JPPM).
“Seyogia diingatkan, sejak pemilihan PKR tahun 2007 saya diminta untuk memimpin PKR selaku presiden.
“Namun, sekatan yang dikenakan oleh Pendaftar Pertubuhan pada ketika itu ternyata menjadi kendala, malah lebih parah lagi boleh membawa implikasi pembubaran parti. Demi maslahah lebih besar, saya memilih untuk berundur sementara Azizah kekal selaku presiden PKR,” kata beliau.
Anwar berkata, parti wajar melihat ke belakang sebagai pedoman untuk ke hadapan, dan bagaimana Wan Azizah mengemudi PKR selaku presiden selepas tahun 1999 dengan menghadapi pelbagai cabaran, mehnah dan tribulasi untuk akhirnya berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional sebagai parti komponen Pakatan Harapan (PH) dengan kerusi paling banyak.
“PKR di bawah kendalian Wan Azizah memperoleh kejayaan demi kejayaan termasuklah menjadi parti yang mempunyai jumlah kerusi paling banyak dalam pembentukkan kerajaan PH dalam menumbangkan kerajaan BN,” katanya.
PKR dijangka akan mengadakan pemilihan epimpinan parti bermula Ogos hingga September ini.
Timbalan Ketua Angkatan Muda PKR, Dr Afif Bahardin mengalu-alukan perkembangan itu dan berkata keputusan Anwar untuk bertanding kerusi presiden parti sememangnya dinanti-nanti oleh penyokong parti reformasi tersebut sejak sekian lama.
“Pastinya saya menyokong penuh dan atas kesedaran bahawa penghargaan tertinggi harus diberikan kepada Dr Wan Azizah yang memimpin PKR selama ini.
“Demi meneruskan kelangsungan PKR sebagai parti politik ulung negara, pengumuman Anwar ini adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh segenap pimpinan dan akar umbi PKR demi membawa parti ini ke masa hadapan. AMK menyokong penuh pengumuman ini,” katanya kepada FMT.
Penganalisis politik Dr Kamarul Zaman Yusoff sebelum ini berkata, kepantasan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menaiki tangga kerajaan mungkin tidak disenangi pemimpin kanan partinya, termasuk Anwar.
Katanya, jawatan dalam parti yang dipegang oleh Azmin mungkin dicabar dalam kongres PKR akan datang berikutan pelantikan beliau ke portfolio hal ehwal ekonomi yang dilihat sangat berkuasa di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Beliau berkata Anwar mungkin mahukan jawatan presiden dalam usaha mengukuhkan kedudukannya dalam PKR, ketika beliau melakukan persiapan untuk mengambil alih kerajaan daripada Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, jawatan yang dijanjikan kepadanya sebelum pilihan raya umum 9 Mei lepas.
Jawatan presiden PKR sekarang dipegang isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Anwar sementara itu diberi gelaran ketua umum, jawatan yang tidak wujud dalam perlembagaan parti itu.