
Ahli MPN, Prof Datuk Teo Kok Seong dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata perdana menteri beri peluang kedua kepada mereka untuk membuktikan kewibawaan dan nilai mereka.
“MPN belum bubar. Belum ada keputusan,” kata Teo.
Beliau berkata ahli majlis bertemu Dr Mahathir bulan lepas, selepas kerajaan mengumumkan MPN akan dibubarkan.
“Dalam perbincangan selama setengah jam itu, banyak perkara dibincangkan dan dia beri isyarat kepada MPN supaya tunjukkan kewibawaan kami, keperluan kewujudan majlis ini,” katanya.
Teo berkata para ahli diminta datang balik bersama satu “pelan penstrukturan semula”.
Dua minggu selepas memenangi pilihan raya 9 Mei lepas, kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan ia akan membubarkan MPN.
Pengkritik mengecam badan itu, mengatakan ia digunakan untuk mengesahkan pentadbiran Barisan Nasional daripada matlamat asal mempromosi ilmu pengetahuan dan membina negara bangsa.
Teo berkata MPN sedang menyediakan satu kertas cadangan untuk dibentangkan kepada Dr Mahathir, tetapi enggan memberi butiran lanjut.
Beliau yakin badan itu akan dikekalkan selepas penstrukturan.