Ada masalah jika guna ‘e-voting’ dalam pemilihan PKR, kata pemimpin parti

Ada masalah jika guna ‘e-voting’ dalam pemilihan PKR, kata pemimpin parti

Sistem e-voting mempunyai masalah dari aspek keselamatan dan integriti perisian yang digunakan turut boleh dipersoalkan.

Free Malaysia Today
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini berkata, pengundian secara ‘e-voting’ akan pertama kali digunakan dalam pemilihan parti Ogos depan bagi melancarkan dan mempercepatkan proses mengundi. (Gambar Bernama)
Free Malaysia Today
Haniza Talha.
PETALING JAYA:
Penggunaan sistem pengundian dalam talian atau “e-voting” dalam pemilihan parti kali ini dijangka menimbulkan pelbagai masalah, kata Timbalan Ketua Wanita PKR, Haniza Talha.

Haniza berkata, pada dasarnya sistem “e-voting” mempunyai masalah dari aspek keselamatan, selain integriti perisian yang digunakan untuk pemilihan turut boleh dipersoalkan.

“Disebabkan itu, negara seperti United Kingdom dan Jerman sudah menghentikan penggunaan sistem “e-voting” kerana tidak ada kemungkinan untuk kiraan semula dalam sistem itu sekiranya timbul keraguan terhadap keputusannya .

“Selain itu terdapat juga masalah dengan akses wifi atau isyarat yang tidak stabil terutamanya bagi kawasan seperti di Sabah dan Sarawak. Bahkan, undian dilakukan ahli juga boleh hilang dalam “kotak hitam,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pengundian secara “e-voting” akan pertama kali digunakan dalam pemilihan parti Ogos depan bagi melancarkan dan mempercepatkan proses mengundi.

Saifuddin berkata, parti sedang menjalankan ujian terhadap sistem “e-voting” bagi mengenal pasti masalah supaya dapat dikemas kini sebelum berlangsungnya pemilihan pada Ogos hingga September ini.

Tanpa menolak kemungkinan sistem atau perisian berkenaan boleh digodam, Haniza berkata ketelusan dalam pungutan data dan analisis juga boleh dipertikai memandangkan bukan semua orang mahir dalam bidang IT.

PKR dilaporkan menerima lebih 300,000 anggota baru menyertai parti itu sejak 9 Mei hingga 26 Jun lepas dan sekarang ini mempunyai lebih 800,000 anggota parti.

PKR merupakan satu-satunya parti politik yang mengamalkan kaedah pemilihan kepimpinan secara langsung oleh ahli.

Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, jawatankuasa pemilihan parti perlu melaksanakan ujian lebih awal bagi memastikan perisan itu benar-benar selamat.

“Secara asasnya ia bagus kepada ahli parti kerana matlamatnya adalah untuk mengelakkan manipulasi ketika proses pengundian berjalan.

“Namun, aplikasi atau perisian yang digunakan perlu diuji sepenuhnya bagi memastikan ia berjalan seperti irancang tanpa sebarang masalah,” katanya yang juga merupakan menteri besar Negeri Sembilan.

Aminuddin pada masa sama turut mengingatkan jawatankuasa pemilihan supaya berani bersikap telus dengan melantik pemerhati luar bagi meneliti perjalanan proses pemilihan.

“Kita sebuah parti yang sering laungkan demokrasi dan reformasi, jadi adalah lebih baik pemerhati luar atau pemerhati dalam parti sendiri yang dipercayai memerhati proses pada hari itu,” katanya.

Manakala itu, Pengerusi PKR Kedah Dr Azman Ismail walaupun menyambut baik rancangan penggunaan sistem “e-voting” turut mengingatkan tentang masalah yang mungkin timbul, terutamanya isu mutu khidmat internet itu sendiri.

“Kelajuan internet yang perlahan di sesetengah tempat perlu kita ambil kira. Walaupun tidak dinafikan kita akan berusaha mencari cara untuk mengatasinya, misalnya dengan memindahkan tempat mengundi ke kawasan yang mempunyai kelajuan internet yang lebih stabil.

“Ini penting sebab tidak dinafikan ada segelintir ahli kita yang berpandangan kritikal dalam isu berkaitan ketelusan,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi PKR Perak Dr Muhammad Nur Manuty turut menyuarakan kebimbangan berhubung penggunaan sistem “e-voting” dalam pemilihan dan meminta kajian menyeluruh dilakukan terlebih dahulu.

Saifuddin bagaimanapun gagal dihubungi bagi mendapatkan penjelasan beliau berhubung perkembangan rancangan dan persiapan penggunaan sistem itu dalam pemilihan parti itu.

 

Pemilihan: Lebih 800,000 ahli PKR mengundi secara ‘e-voting’

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.