Laporan PRU14 salahkan BN amal rasuah semasa berkempen

Laporan PRU14 salahkan BN amal rasuah semasa berkempen

Laporan itu menyenaraikan 46 dakwaan kes rasuah dan membeli undi serta 196 kes memberi hadiah kepada pengundi.

Free Malaysia Today
Laporan itu juga mendakwa SPR menunjukkan pilih kasih dan memihak kepada kerajaan BN untuk memperoleh kemenangan.
KUALA LUMPUR:
Satu laporan yang disediakan Bersih 2.0 bersama 2 NGO lain berkenaan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) menyalahkan Barisan Nasional (BN) berhubung rasuah, membeli undi, pemberian hadiah dan sikap pilih kasih oleh institusi awam.

Laporan itu disusun bersama oleh kumpulan reformasi pilihan raya Bersih 2.0, kumpulan hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Pusat Komuniti Masyarakat (Komas).

“Laporan Pemantauan PRU14” itu menyenaraikan 46 dakwaan kes rasuah dan membeli undi serta 196 kes pemberian ganjaran dalam tempoh berkempen sehingga 9 Mei.

Ia mendakwa majoriti kesalahan ini melibatkan BN.

“Laporan ini menunjukkan bukti menyeluruh bahawa PRU14 tidak bebas dan tidak adil,” menurut laporan 114 halaman itu.

Kes yang paling biasa adalah pemberian cermin mata percuma kepada pengundi, petrol percuma, cabutan bertuah, pemberian cek kepada peneroka Felda, pembayaran BR1M dan menyerahkan wang kepada institusi agama.

Laporan itu berkata terdapat lebih 250 kes yang dilaporkan berhubung penggunaan aset kerajaan dan pemberian ganjaran kerajaan yang tidak wajar, melibatkan sekurang-kurangnya RM5 bilion dana pembayar cukai sama ada yang diumumkan semasa kempen atau diedarkan selepas pembubaran Parlimen.

“Pembayaran terbesar dibuat oleh perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak semasa pelancaran manifesto BN selepas pembubaran Parlimen, melibatkan pemberian tambahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bernilai RM3.71 bilion,” kata laporan itu.

Ia berkata kerajaan dan pihak berkuasa tidak mengambil langkah untuk melindungi integriti pilihan raya daripada rasuah.

“Juga tiada usaha menghalang pemberian oleh kerajaan dan penggunaan aset kerajaan,” katanya.

Laporan itu juga mendakwa institusi awam, termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), menunjukkan pilih kasih dan memihak kepada kerajaan BN ketika itu untuk memperoleh kemenangan.

Ia menyatakan walaupun terdapat percubaan besar oleh institusi awam utama untuk memastikan kemenangan BN, rakyat memutuskan untuk mengundi Pakatan Harapan dan ini menyaksikan BN kehilangan kerajaan persekutuan buat pertama kalinya sejak Merdeka dan PAS merampas 2 negeri.

Laporan itu berkata daripada 79 kerusi yang dimenangi BN, 70 daripadanya dari sekecil 122 kerusi. Kerusi yang dimenangi PH mempunyai purata 77,943 pengundi berbanding 46,836 pengundi untuk kerusi yang dimenangi BN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.