
Menurut laporan badan itu, ini kerana dalam usaha membangunkan Cyberjaya, kerajaan “cuba mewujudkan sebuah hab yang maju daripada kosong sedangkan bukti menunjukkan hab yang paling berjaya sekalipun tumbuh secara semulajadi dengan kerajaan berperanan pada peringkat lebih terkemudian bagi menyokong pembangunannya, termasuk menyediakan permintaan bagi teknologi baru itu”.
Laporan bertajuk “Create or Nurture? Lessons from Cyberjaya: Malaysia’s Promised Silicone Valley” menilai kejayaan Cyberjaya dengan membandingkannya dengan hab lain seperti Lembah Silikon yang lebih terkenal.
Laporan itu menyebut, walaupun Malaysia menikmati peningkatan eksport ICT yang berterusan dan membanggakan, namun “kebanyakan peningkatan ini mungkin tidak boleh dikatakan berpunca daripada Cyberjaya”.
Ketua pegawai eksekutif IDEAS dan pengarang laporan itu, Ali Salman berkata, “Cyberjaya merupakan cita-cita besar yang akhirnya gagal. Walaupun ia berjaya mencipta pekerjaan dan menarik pelaburan, namun ia gagal muncul sebagai hab inovasi terkemuka dunia seperti diimpikan.
“Sebab utamanya ialah kerajaan tidak boleh mewujudkan hab daripada kosong, ia hanya perlu menyokong sesuatu yang muncul secara semula jadi. Kerajaan baru perlu belajar daripada pengalaman ini dan melaksanakan dasar yang membolehkan potensi besar sektor swasta Malaysia berkembang, bukannya cuba mengurusnya secara langsung.”
Lembah Silikon di San Francisco, California merupakan pangkalan bagi banyak syarikat permulaan dan teknologi global termasuk Apple, Facebook dan Google.
Cyberjaya bermula pada 1997 di atas tapak yang tidak dibangunkan seluas 2,800 hektar bersebelahan dengan Putrajaya. Ia merupakan idea perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Cyberjaya sepatutnya menjadi tonggak Koridor Raya Multimedia (MSC) dan direncanakan sebagai “zon khas di mana usahawan teknologi dan syarikat antarabangsa menikmati pelepasan cukai menarik, akses kepada sumber manusia dan infrastruktur bertaraf dunia pada harga negara membangun”. Ia dirancang sebagai tapak semaian idea yang subur.
Laporan itu mendapati Cyberjaya sangan berbeza dengan Lembah Silikon dari segi peranan perancangan pusat dan “perancangan pusat tidak mampu melahirkan kluster industri yang berjaya, sebaliknya dasar industri yang berkesan pasti berupaya menyuburkan kluster sedemikian”.
Ia mendapati “proses organik yang menggabungkan permintaan pasaran dengan penawaran tenaga kerja berkemahiran yang berpusat melalui proses keusahawanan yang rumit adalah sangat penting bagi kejayaan. Ini tidak boleh digantikan dengan arahan atau wawasan kerajaan yang bersifat ‘atas ke bawah’.”
“Cyberjaya yang diketengahkan sebagai wawasan besar dan hebat itu mungkin telah turut memasukkan kegagalan dalam reka bentuknya.
“Kami perlu menakrifkan perkataan ‘gagal’ digunakan yang mungkin kelihatan seperti penilaian yang kejam memandangkan jumlah syarikat MSC dan kehadiran MNC yang banyak di Cyberjaya.
“Tidak dinafikan projek ini membantu menempatkan Malaysia sebagai pemain dalam operasi khidmat luaran dunia, tetapi jelas juga penilaian dibuat dengan membandingkan sesuatu dengan objektif rasmi yang ditetapkan.”
Ia mengakui Cyberjaya kini menjadi pangkalan ratusan buah syarikat dan beberapa universiti, yang berkemungkinan akan membantu melahirkan tapak inovoasi baru untuk industri tersebut pada masa depan.
Laporan itu menyebut, sejumlah besar pekerja berpengetahuan diperlukan bagi melahirkan hab seperti Cyberjaya dan faktor ini memang sedia ada. Bagaimanapun penting juga untuk memastikan berlakunya percambahan bersilang idea mereka melalui penciptaan modal sosial dan itu tidak ada.
“Percikan semarak keusahawanan dan pengambilan risiko yang mencirikan Lembah Silikon AS pada ahun 1960-an, bukanlah sesuatu yang biasa di Lembah Silikon Malaysia. Terdapat banyak ‘wajah kerajaan’ di lembah ini, baik dari segi reka bentuk ‘urbannya’ atau dalam bentuk syarikat yang ada, tetapi tidak dalam bentuk pengambilan risiko syarikat modal teroka swasta serta budaya keusahawanan”.
Laporan tersebut berakhir dengan membuat sebuah analogi membandingkan pembangunan hab seperti Cyberjaya dengan proses membuat kek bagi menjelaskan peranan kerajaan.
“Sebutir kek mempunyai beberapa bahan untuk membuatnya seperti tepung, susu, gula, coklat dan telur. Walaupun kesemua bahan ini penting dan menarik tumpuan kita dalam membuat kek, namun satu bahan sangat penting, tetapi tersembunyi ialah agen penaiknya, iaitu serbuk penaik atau soda dalam kes ini.
“Tanpa agen ini, tidak ada kek boleh dibuat. Bagi kek seberat satu paun, anda memerlukan hanya satu sudu agen penaik. Namun terdapat pelbagai jenis agen penaik seperti soda masakan dan tepung penaik, sama seperti kepelbagaian bentuk kerajaan dengan hasil yang sama.
“Perkara penting dalam analogi ini ialah jika anda memasukkan lebih daripada satu sudu agen penaik bagi kek satu paun, ia akan rosak. Kek tidak menjadi jika kita memasukkan terlalu banyak soda penaik, jadi ukuran tepat penting. Sedikit tetapi mencukupi.
“Tiada ekonomi boleh berfungsi tanpa kerajaan, tetapi jika peranan kerajaan terlalu besar, ia menjadi rosak. Sama seperti kerajaan yang besar akhirnya melahirkan rasuah dan korupsi.
“Seperti agen penaik, peranan kerajaan tersembunyi dan sekadar mencukupi. Anda tidak nampak agen penaik dalam kek, rasanya juga tidak ada. Ini sama seperti sebuah kerajaan yang baik.”