
Ahli Umno yang diketuai Amiruddin Mohd Rais mendakwa penduduk Taman Sejahtera yang dipimpin Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng serta pemimpin pusat khidmat komuniti Kepong, Yee Poh Ping menceroboh.
Amiruddin berkata, DAP dan penduduk itu sepatutnya memaklumkan Umno terlebih dahulu jika mereka mahu melawat tanah itu.

“You masuk macam ini semua, tak inform kita, tak boleh,” katanya.
“Ramai-ramai datang macam ini, memanglah orang rasa,” kata seorang wanita.
Yee berkata, penduduk ingin tahu sama ada Umno Kepong berhasrat membina sebuah pusat dialisis atas tanah itu seperti dirancang.
Amiruddin berkata, partinya akan mengotakan janji mereka mengenai pembinaan pusat dialisis itu dalam sebuah dewan masyarakat 2 tingkat seperti dicadangkan.
“Apabila ia siap, semua orang boleh menggunakannya.”
Yee mendakwa tanah itu dimiliki seorang pemaju dan Umno Kepong mengumpul RM4 juta untuk pusat dialisis itu dalam sebuah majlis kutipan dana pada 2015.
Ketua Umno Bahagian Kepong, Datuk Seri Rizuan Abd Hamid yang tiba kemudian turut mengarahkan Yee dan kumpulannya keluar dari kawasan itu dengan alasan mereka menceroboh.
“Pergi bincanglah dengan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), baru mari ramai-ramai. Kenapa mahu serang saya macam ini?
“You tak patut buat ini, saya kawan dengan you lama,” katanya kepada Yee yang sekadar mengangguk.

Rizuan memberitahu wartawan, Umno Kepong dibenarkan arwah datuk bandar, Tan Sri Elyas Omar menduduki tanah itu.
“Bagaimanapun, tanah itu milik seorang pemaju yang menamatkan operasi. Kita perlu menyelesaikan masalah tanah ini sebelum kita bleh teruskan pembinaan dewan dan pusat dialisis itu.”
Beberapa orang menjerit Rizuan memukul Yee dalam konfrontasi itu.
Bagaimanapun, Yee memberitahu wartawan yang Rizuan tidak memukulnya, sekadar menampar dokumen di tangannya.