
Penduduk sekitar berkata Pusat Latihan Memperkasa Ummah atau Ilmu, yang terletak di Janda Baik, Pahang sunyi sekali selepas kekalahan parti Melayu itu pada pilihan raya 9 Mei lalu.
Pandangan dari udara kelihatan 2 bangunan besar dan 9 bangunan kecil, dilengkapi tempat letak kereta, 2 kawasan luas dipercayai dataran dan padang, dikelilingi beberapa rumah inap.
Dia merasakan di sinilah tempat ahli-ahli Umno kena “brain wash”.
“Saya pernah lihat dia orang pasang bendera parti seperti DAP dan PAS. Selepas itu kata ‘PAS bodoh’, ‘DAP bodoh’, ‘parti komunis’ dan ‘pengkhianat’,” kata seorang pemilik rumah inap, Ahmad Zaini Mat Yunus, 50.
Dia mengetahui perkara itu selepas mendengar dan menonton aktiviti di situ daripada rakaman video yang diambil oleh orang lain dari sebuah bukit berdekatan.

“Saya lihat ini lebih kepada propaganda mereka untuk cetuskan kemarahan dan di sini tempat latihan mereka,” katanya lagi.
FMT cuba mendapatkan reaksi daripada pihak yang menjaga Ilmu tetapi dia enggan berkata apa-apa kerana tatacara operasi standard tidak membenarkan dia memberi sebarang ulasan mengenai pusat ini.
Pencarian di Internet pula tidak menghasilkan banyak maklumat yang bermakna tentang pusat ini, kebanyakannya gambar aktiviti yang pernah dijalankan di situ.
Perkasa ahli
Terletak kira-kira 54 kilometer dari Kuala Lumpur, kompleks berdekatan laluan masuk ke Gunung Nuang ini dianggarkan seluas 23 ekar, dan tidak boleh dimasuki orang luar tanpa sebab.
Tidak pula tertera kompleks ini khusus untuk Umno namun terpampang lambang tulisan jawi merah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu di luar bangunan.

Ketua Kampung Janda Baik, Zahari Arop, 70, berkata di sinilah tempat Umno “memperkasa” ahli dari seluruh negara dan banyak program dijalankan terutama di hujung minggu.
“Saya pernah 10 kali masuk dalam Ilmu dengan menyertai program di situ. Ada asrama, dewan besar untuk mesyuarat dan dewan kuliah untuk bengkel.
“Aktiviti semua dalam dewan mengenai Umno,” katanya.
Zahari berkata sebelum PRU-14 ia selalu dikunjungi presiden Umno ketika itu, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta pemimpin-pemimpin besar lain untuk merasmikan majlis atau menghadiri program.
“Ilmu ini merupakan tempat persendirian oleh Umno selepas mereka membeli dengan tuan tanah dan dianggarkan bernilai RM14 juta,” katanya.
Katanya, bukan Umno sahaja yang menjalankan aktiviti kerana ada juga program agensi kerajaan. Namun selepas PRU-14, tiada langsung aktiviti dijalankan di situ.
Poco-poco waktu pagi

Sementara itu, Ahmad Zaini, pemilik rumah inap berdekatan kompleks itu berkata ramai tidak tahu program apa yang dijalankan di Ilmu.
Menurut beliau, kebiasaannya akan ada bunyi bising seperti siren ketika program diadakan di situ. Pada waktu malam akan ada orang berkaraoke, manakala di waktu pagi “mereka pasang lagu poco-poco”.
Beliau mengadu bunyi bising dan pencemaran lain pernah menyebabkan pengunjung meninggalkan rumah inapnya kerana tidak selesa.
“Air kumbahan mereka dibuang di sungai yang mengalir di kawasan ‘homestay’ saya. Di sebabkan itu air sungai berdekatan ‘homestay’ saya menjadi berbau, kekuningan dan berlendir.
Rezeki orang kampung

Lain pula halnya dengan penduduk tetap di situ, Sabarudin Abdul Malik, 53, yang mengalu-alukan kewujudan Ilmu di kampungnya.
Pengusaha kedai perkakasan ini berkata dia tidak nampak keburukan Ilmu tapi yang pasti ia membuka peluang pekerjaan dan rezeki kepada orang kampung.
“Apabila program dijalankan, mereka kadang kala menempah makanan seperti lemang, mee kari, kuih tradisional dan pisang goreng.
“Bayangkan 1 program mereka tempah 100 batang lemang dengan harga 1 batang lemang RM10. Berapa banyak orang kampung dapat?” katanya.
Sabarudin ditanya bagaimana pula keadaan sekarang apabila Ilmu tidak lagi menjalankan program selepas PRU14.
“Jika mereka nak baiki longkang bocor atau sinki bocor mereka datang kedai saya. Sekarang tak ada program, tidak ada lagi,” katanya.