Menteri: Kerajaan batal 4 kontrak baru IPP

Menteri: Kerajaan batal 4 kontrak baru IPP

Tanpa menjelaskan butiran mengenai syarikat terbabit, Yeo berkata, satu daripada IPP berkenaan adalah syarikat senarai awam.

Free Malaysia Today
Yeo berkata, 4 lagi kontrak IPP, yang juga projek baru, akan disemak semula untuk memastikan daya maju serta kos terbabit, tanpa sebarang kesan teknikal, kewangan dan undang-undang. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kerajaan sedang meninjau untuk membatalkan 4 kontrak baru pengeluar tenaga bebas (IPP) yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu, kata Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin.

Tanpa menjelaskan butiran mengenai syarikat terbabit, beliau berkata, satu daripada IPP berkenaan adalah syarikat senarai awam.

Yeo berkata, 4 lagi kontrak IPP, yang juga projek baru, akan disemak semula untuk memastikan daya maju serta kos yang terbabit, tanpa sebarang kesan teknikal, kewangan dan undang-undang.

“Perdana menteri mencadangkan 8 IPP ini, yang dianugerahkan melalui rundingan terus, disemak semula.

“Empat yang akan dibatalkan adalah projek berisiko rendah dan kita tidak memerlukannya selepas siasatan menyeluruh mengenai implikasi berkenaan,” katanya selepas menghadiri sesi “town hall” (dialog awam) dengan industri tenaga diperbaharui, hari ini.

Yeo berkata, pada masa ini terdapat lebih 30 kontrak IPP di seluruh negara dan menambah, kementerian sedang menyemak semula kontrak IPP lain juga.

Katanya, kementerian juga mengkaji cara untuk meningkatkan daya saing dalam kalangan pemain industri untuk menjana kuasa bagi mengawal kos elektrik di negara ini.

“Bekalan tenaga negara mengalami lebihan sebanyak 30% dan kami ingin mengkaji bagaimana membangunkan industri tenaga baru yang berpusat di sekitar tenaga diperbaharui, bukannya terlalu bergantung kepada tenaga arang batu.

Ini sebabnya kenapa tenaga diperbaharui adalah sesuatu yang kerajaan ingin untuk maju ke hadapan bagi menjana pertumbuhan tenaga juga membentuk lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.