
Tan Sri Abu Talib Othman memberi contoh Mahkamah Persekutuan pada 2007 menolak bukti diambil di Hong Kong dalam kes pendakwaan bekas pengarah urusan Perwaja Steel Sdn Bhd, Tan Sri Eric Chia Eng Hock atas tuduhan pecah amanah.
“Bekas peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail ke seluruh dunia untuk mengumpul bukti yang akhirnya ditolak mahkamah tertinggi,” katanya kepada FMT.
Abu Talib mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang tumpuan kini diberikan kepada pengumpulan bukti di luar negara dalam kes 1MDB.
“Lima puluh peratus kita dah lengkapkan (kumpul) bukti tempatan, sekarang kita melihat bukti dari luar negara,” katanya pada Sabtu lalu.
Pada 12 Jun lalu, Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, beliau membenarkan SPRM mengumpul bukti di Switzerland, Amerika Syarikat, Perancis dan Emiriyah Arab Bersatu.
Abu Talib yang mempengerusikan Jawatankuasa Siasatan 1MDB berkata, dana awam akan dibazirkan jika keterangan saksi yang dikemukakan di mahkamah tidak boleh diterima.
Fokus utama jawatankuasa itu ialah memastikan pendakwaan untuk semua salah laku berkaitan 1MDB dan memaksimumkan pemulihan aset yang dapat dikesan kepada 1MDB.
Pada 31 Januari 2007, panel 5 hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim memutuskan keterangan 6 saksi yang direkodkan di mahkamah Hong Kong tidak boleh diterima sebagai bukti dalam perbicaraan pecah amanah berjumlah RM76.4 juta itu.
Fairuz berkata, keterangan yang diperolehi di bawah Seksyen 8(3) Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 (MACMA) tidak memenuhi keperluan Akta Keterangan 1950.
Chia memfailkan kes itu di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi mengetepikan penghakiman Mahkamah Sesyen yang menolak permohonan pendakwaan untuk mengemukakan bukti diperolehi di Hong Kong.
Mahkamah tertinggi itu kemudian mengarahkan perbicaraan diteruskan dan Chia dibebaskan daripada tuduhan pada 27 Jun 2007 tanpa dipanggil membela diri.
Hakim, Datuk Akhtar Tahir membebaskan Chia daripada pertuduhan melakukan pecah amanah RM76.4 juta dari Perwaja Rolling Mill dan Development Sdn Bhd atas kapasitinya sebagai pengarah urusan pada 19 Februari 1994.
Hakim turut membebaskan Chia daripada tuduhan alternatif, iaitu dengan curang melupuskan dana Perwaja dengan memeterai satu perjanjian bersama NKK Corporation, Jepun, dan meluluskan pembayaran RM76.4 juta ke akaun Frilsham Enterprise Inc melalui American Express Bank Ltd di Hong Kong.
Tahun berikutnya, Chia yang berusia 74 tahun meninggal dunia di sebuah hospital di Sungai Petani selepas mengalami kesukaran bernafas.