Nazifuddin bermesra dan bergembira, jadi apakah masalah anda, tanya Bebas

Nazifuddin bermesra dan bergembira, jadi apakah masalah anda, tanya Bebas

Kumpulan aktivis sekular berkata pemantauan moral tampak 'segar dan cergas', serta mengutuk liputan media mengenai Nazifuddin Najib.

Free Malaysia Today
(Foto) Liputan media mengenai Nazifuddin Najib di Taiwan.
PETALING JAYA:
Kumpulan aktivis sekular, Bebas, mengutuk liputan media mengenai Mohd Nazifuddin Najib, anak bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang kelihatan, dalam gambar yang disiarkan, sedang bermesra dengan seorang pelakon wanita Taiwan.

Jurucakap Bebas, Azrul Mohd Khalib berkata, laporan itu, yang mulanya tersiar dalam laman berita Taiwan dipetik oleh beberapa portal berita Malaysia, merupakan bukti kegiatan pemantauan moral masih segar dan cergas di negara ini.

Free Malaysia Today
Azrul Mohd Khalib.

Nazifuddin dilihat menikmati hidangan dengan pelakon Taiwan, Celia Chang, di sebuah restoran di kawasan membeli-belah mewah di Taipei.

Pasangan itu dilaporkan makan dan bermesra selama beberapa jam di restoran tersebut.

Azrul berkata tumpuan kepada Nazifuddin tidak jauh bezanya dengan apa yang disifatkannya sebagai pemangsaan ke atas seorang pembantu menteri di Kementerian Belia dan Sukan kerana “bersikap jujur pada dirinya sendiri”.

Beliau merujuk kepada Numan Afifi, yang pernah bercakap mempertahankan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender.

Azrul juga berkata, kritikan seorang pemimpin PAS terhadap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman kerana berseluar pendek dan menyifatkannya sebagai “pakaian kerja yang tidak sesuai” turut merupakan perbuatan pemantauan moral.

“Sekarang, anak bekas perdana menteri pula dihakimi dan dicemuh di media sosial dan pandangan awam kerana kelakuannya dilihat tidak mencerminkan peribadi teladan seorang penganut Islam di Malaysia,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, makanan dan minuman Nazifuddin juga diteliti, pilihan pasangannya dikutuk dan aktiviti diri beliau ditempatkan di bawah teropong dan penghakiman moral.

“Seseorang yang memilih menjadi sosok awam berhak ke atas ruang peribadi, tetapi yang lebih terhad. Namun dalam kes ini, ibu bapa beliau yang memilih menjadi ahli politik dan tokoh awam.

“Atas kepentingan keadilan, privasi dan kehormatan diri, standard perlindungan daripada pemantauan moral yang sama hendaklah terpakai kepada semua orang tanpa kecuali, melainkan dalam kes tertentu yang terpencil, terhad dan betul-betul boleh dipertahankan,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.