
Bercakap kepada FMT, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu, Datuk Mokhtar Samad berkata, ahli persatuan sangat mengalu-alukan komitmen kerajaan baru itu.
“Kami sokong tender terbuka. Ia lebih baik kerana tidak akan ada lagi kroni dan urus niaga pintu belakang seperti yang berlaku apabila projek dianugerahkan melalui tender terpilih atau rundingan terus”.
Katanya, sebelum ini, 10 syarikat kroni akan mengambil bahagian dalam tender terpilih dengan bekerjasama antara satu sama lain. Atau sesetengah kontrak dianugerahkan secara rundingan terus, dan projek diberikan secara langsung kepada kroni “dengan memberikan pelbagai alasan” bagi mewajarkan perbuatan itu.
Mokhtar berkata, tender terbuka tidak menjadi masalah kepada kontraktor Bumiputera kerana kerajaan telah memberi jaminan mengekalkan kuota bagi projek untuk golongan itu sahaja.
“Jadi, bagi projek yang terbuka kepada kontraktor Bumiputera sekali pun, kita akan mengadakan tender terbuka dalam kalangan kontraktor Bumiputera. Siapa yang memenuhi syarat akan mendapatnya. Itu adil.
“Malah bagi projek yang terbuka kepada semua, kita masih ada kontraktor Bumiputera yang boleh bersaing.”
Sebelum ini, Baru memberitahu pegawai kanan Jabatan Kerja Raya bahawa kerajaan pusat akan menggunakan kaedah tender terbuka secara meluas dan telus bagi projek kerajaan, terutama projek berskala besar bagi menghentikan pembaziran dana awam.
Beliau berkata, kerajaan membelanjakan RM100 bilion setahun untuk perolehan melalui pelbagai projek dan kontrak.