
“Buang masa sahaja untuk saya saman beliau dalam hal ini,” kata Lokman di luar komples mahkamah hari ini ketika menunggu ketibaan bekas perdana menteri itu untuk membayar baki wang jaminan beliau.
Minggu lepas, Lokman membuat laporan polis terhadap Shukri dan mendakwa ketua SPRM itu berbohong mengenai pertuduhan terhadap Najib.
Najib sendiri memfailkan saman terhadap Shukri, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh dan Peguam Negara, Tommy Thomas, 2 minggu lepas.
Shukri bagaimanapun berkata saman itu tidak akan menghalang beliau.
Lokman, yang mengetuai pertubuhan bernama Pemantau Malaysia Baru, turut mengkritik pihak berkuasa kerana membekukan akaun anak Najib dan cucu beliau, Adam, berumur 10 bulan.
“Pejabat Peguam Negara sepatutnya meneliti saman Jabatan Kehakiman AS dengan lebih cermat,” katanya.
“Tidak ada nama Nooryana, Norlisa, Nizar atau Norashman dalam saman itu.”
Beliau juga menjangka Tommy akan menggugurkan tuduhan rasuah terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berhubung pembelian sebuah banglo di Pulau Pinang di bawah harga pasaran.
“Saya berani cakap begitu. Dia (Tommy) ada kuasa untuk putuskan semua kes,” tambahnya.